Klinik swasta cetus kluster baharu di Ranau

Kickbola.net Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun.



KOTA KINABALU: Sebuah klinik swasta di pekan Ranau, disyaki menjadi punca penularan COVID-19 yang mencetuskan kluster baharu berkaitan tempat kerja yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster itu tercetus selepas dua kakitangannya dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 10 Julai lalu.

Katanya, kedua-dua kakitangan klinik itu menjadi kes indeks bagi kluster berkenaan yang setakat ini merekodkan 15 kes positif COVID-19 termasuk membabitkan pelanggan klinik terbabit.

"Kluster Pekan Ranau itu membabitkan jangkitan yang disyaki bermula di sebuah klinik swasta sebelum menular kepada pelanggannya.

"Kluster tempat kerja ini dikesan oleh klinik berkenaan melalui saringan bergejala apabila dua orang kakitangan disahkan positif COVID-19 pada 10 Julai lalu, sekali gus menjadi kes indeks.

"Saringan terhadap 246 kontak seterusnya mengesan 13 lagi kes positif, masing-masing enam kes pada 13 Julai, dua kes pada 14 Julai dan lima kes pada 15 Julai," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Masidi berkata, lima lagi kes baharu berkaitan kluster itu dikesan hari ini, menjadikan kumulatif sebanyak 15 kes, manakala tujuh lagi sampel saringan masih menunggu keputusan.

Sementara itu, daerah Kota Kinabalu terus menunjukkan peningkatan kes baharu positif COVID-19 apabila mencatat 123 kes berbanding 113 kes semalam, sekali gus meletakkannya sebagai daerah paling tinggi kes pada hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, peningkatan itu berpunca daripada saringan kontak rapat yang mencatat sebanyak 42 kes, diikuti saringan bersasar (40 kes), saringan kluster sedia ada (20 kes), saringan bergejala (11 kes) dan 10 kes lagi dikesan melalui saringan lain.

"Kes baharu bagi saringan kluster sedia ada di Kota Kinabalu pula disumbangkan melalui Kluster Tembok Kota Kinabalu (10 kes), Kluster Agora Borneo (lapan kes) dan Kluster Lorong Berjaya sebanyak dua kes.

"Saringan bersasar di Kota Kinabalu pada hari ini mengesan kes positif di beberapa lokaliti iaitu Lok Urai, Pulau Gaya (31 kes), Bandaran Berjaya (lapan kes) dan Pasar Besar Kota Kinabalu sebanyak tiga kes," katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan 326 kes baharu COVID-19 dengan tiga kematian iaitu masing-masing satu di Kota Kinabalu, Kalabakan dan Semporna, manakala seramai 345 pesakit dilaporkan sembuh.

Setakat hari ini, seramai 2,216 pesakit COVID-19 masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negeri, mewakili 48.96 peratus penggunaan katil daripada 4,526 katil yang disediakan untuk pesakit COVID-19 di Sabah.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.