Pemandu Perodua Alza langgar SJR PKPD Taman Teluk Likas diburu

PEMANDU Perodua Alza (dalam bulatan) diburu selepas merempuh SJR Pos Kawalan PKPD Taman Teluk Likas. FOTO ihsan polis



Kota Kinabalu: Polis sedang giat mengesan pemandu Perodua Alza berwarna putih yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) Pos Kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Teluk Likas, di sini, semalam.

Kejadian jam 11.33 pagi itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah berhampiran turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu berhenti di Pos Kawalan PKPD Taman Teluk Likas.

Bagaimanapun katanya, ketika anggota bertugas cuba mendekati untuk pemeriksaan, pemandu kenderaan itu tiba-tiba mengundurkan kereta sehingga terlanggar Perodua Myvi di belakang.

"Pemandu kemudian bergerak ke depan dan melanggar penghadang jalan dan kawat berduri sebelum memecut ke arah Jalan Kuala Laut.


Kawat berduri yang dilanggar oleh pemandu Perodua Alza itu di Taman Likas Jaya.
"Dalam kejadian itu, semua petugas termasuk pemandu Perodua Myvi yang dilanggar suspek tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, usaha memburu kenderaan berkenaan sedang giat dijalankan dan pengesanan juga dilakukan melalui SJR Op Covid-19.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.


Sehubungan itu, Mohd Zaidi memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kenderaan atau individu terbabit supaya tampil menyalurkan maklumat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Zulfairie Ismail di talian 0132-2618487 atau 088-529222.


Post a Comment

Previous Post Next Post