KOTA BELUD: Seorang tokan dadah wanita yang dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di sekitar daerah ini ditahan polis dalam serbuan di sebuah Homestay, di Jalan Sangkir, di sini, semalam.
Wanita berusia 30-an itu berjaya ditahan bersama dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, operasi serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
Katanya, ketika diserbu, suspek dilihat cuba melarikan diri dari pintu koridor belakang namun tindakan pantas polis berjaya menahan wanita terbabit.
“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek membawa kepada penemuan dua paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu.
Suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran di sekitar Kampung Tempasuk dan pekan Kota Belud dengan harga sekitar RM30 hingga RM50 bagi setiap ‘dek’ serta RM450 hingga RM500 bagi satu ‘set’ syabu
Sahimi berkata, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis metaphetamine.
Katanya, semakan rekod lampau turut mendapati suspek pernah ditahan pada tahun lalu atas kesalahan jenayah dadah.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan,” tegasnya.
Post a Comment