Warisan desak Perdana Menteri dan anggota Kabinet letak jawatan

JO-ANNA SUE HENLEY RAMPAS dan MOHD ISMAIL



KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua anggota Kabinet meletak jawatan secara terhormat kerana kegagalan menguruskan pembatalan Ordinan Darurat.

Timbalan Ketua Wira, Mohd. Ismail Ayob dan Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, kesemua anggota Kabinet itu perlu meletakkan jawatan seiring dengan teguran Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua mereka berpendapat pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa semua enam Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai tanpa perkenan Agong.

“Tindakan ini jelas bertentangan dengan Artikel 150(3) Perlembagaan Persekutuan serta menghina raja-raja.

“Kita sebagai Malaysian perlu berpandukan kepada Rukun Negara dan dalam hal ini, prinsip ketiga Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan.

“Seorang pemimpin sepatutnya memberikan contoh kepada setiap rakyat Malaysia dengan mematuhi Rukun Negara. Maka, tidak sepatutnya Perdana Menteri dan Kabinetnya menentang teguran Agong berkaitan kenyataan Takiyuddin yang dilihat mengelirukan Parlimen,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini sangat tidak menghormati Agong dan mengelirukan rakyat Malaysia.

Selepas tujuh bulan menanti Parlimen bersidang, tiada kebenaran untuk perbahasan dan perbincangan kritikal dibenarkan berkaitan pengurusan pandemik Covid-19 yang gagal di negara ini.

Ketika ini, kadar kematian meningkat, ekonomi juga semakin lumpuh tetapi, kerajaan memerintah hari ini dilihat terlalu berpolitik bukannya menyatukan pakar serta sumber yang ada untuk menguruskan wabak Covid-19 di negara ini.

Jelas mereka, apa yang berlaku hari ini menunjukkan persidangan Parlimen disalah guna oleh PN yang masih berdegil untuk berkuasa walaupun gagal mengurus pandemik Covid-19.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.