949 kes jangkitan hari ini, semua daerah catat kes baharu

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun



KOTA KINABALU: Semua daerah di Sabah mencatatkan kes baharu hari ini menjumlahkan penambahan keseluruhan 949 kes COVID-19 di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata ibu negeri mencatatkan penambahan kes paling tinggi iaitu daripada 183 kelmarin kepada 260 kes hari ini.

Katanya 68 peratus bersamaan 178 kes adalah daripada saringan kontak rapat.

“Beberapa daerah lain termasuk Tawau turut menunjukkan peningkatan kepada 138 dengan penambahan 48 kes berbanding hari sebelumnya manakala Tuaran mencatat 102 kes iaitu penambahan 23 kes.

“Beaufort yang hanya mencatatkan 19 kes pada hari sebelumnya meningkat kepada 62, begitu juga di Ranau yang tidak ada kes baharu pada 3 Ogos melonjak naik sebanyak 27 kes hari ini,” katanya.

Menurutnya saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes keseluruhan iaitu sebanyak 570 kes dan 201 kes adalah dari kategori bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik manakala 74 kes lagi adalah kluster sedia ada.

“Sebahagian besar iaitu 870 kes adalah daripada kategori satu dan dua dan hanya sembilan pesakit positif dikategorikan pada tahap empat dan lima yang memerlukan rawatan intensif.

“Memandangkan saringan bergejala adalah tinggi, masyarakat Sabah yang mengalami selesema dan batuk disarankan agar segera membuat ujian calitan bagi menentukan kedudukan kesihatan masing-masing,” katanya.

Tambahnya tindakan ini dapat mengelakkan daripada menjangkiti orang lain sekiranya disahkan positif COVID-19.

Sementara itu katanya terdapat satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Tempasuk Kota Belud iaitu kluster komuniti yang direkodkan oleh juruwang disebuah bank yang kemudiannya menjangkiti kaum keluarga, penduduk kampung serta kontak rapat lain.

Katanya 10 daerah yang mencatatkan kurang dari 10 kes adalah Semporna dan Tenom tujuh kes, Sipitang dan Pitas lima kes, Beluran ,Kota Marudu ,Kuala Penyu masing-masing empat kes, Tongod dan Kalabakan tiga kes dan Tambunan hanya satu kes.

Post a Comment

Previous Post Next Post