Bibit lompat parti di Sabah bahayakan kerajaan GRS

GRS merangkumi gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk kerajaan negeri selepas menang Pilihan Raya Negeri pada 26 September lalu.




Perubahan dinamik politik nasional akan membawa kepada perubahan di peringkat negeri sekiranya berlaku perubahan yang drastik.

Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, politik di negeri ini amat bergantung kepada politik nasional maka, sekiranya berlaku perubahan yang drastik di peringkat nasional maka, di Sabah juga akan berubah.

Sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan lagi kerajaan dan UMNO bertindak untuk bergabung dengan parti lain, sudah tentu ia akan mempengaruhi keadaan di Sabah.

“Sejarah menunjukkan Sabah sentiasa mengikut trend politik di Semenanjung Malaysia kerana Sabah tidak mahu menjadi kerajaan yang tidak sehaluan kerana peruntukan bagi melaksanakan dasar ekonomi dan pembangunan infrastruktur amat bergantung kepada kerajaan Pusat.

“Kita sudah melalui episod menjadi pembangkang dan banyak pembangunan tidak dapat dilaksanakan. Kebiasaan ingin sehaluan dengan persekutuan itu akan menyebabkan kerajaan negeri akan bertukar sekali lagi.


Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr. Firdausi Suffian
“Kebarangkalian itu tidak mustahil kerana bibit melompat parti amat subur di Sabah dan itu yang paling bahaya, itu menjadi kerisauan kita,” katanya.

Firdausi berkata, apabila kerajaan berubah dasar dan pelan pembangunan kerajaan sedia ada pasti akan berubah dan ia sekaligus membantutkan usaha memulihkan ekonomi negeri yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19.

Walaupun dasar sedia ada baik untuk negeri Sabah namun, kerajaan baharu tidak akan meneruskannya kerana naratif politik memang begitu. Mereka tidak mahu kerajaan terdahulu mendapat pengiktirafan sekiranya pelaksanaan sesuatu dasar itu berjaya.

Bagaimanapun katanya, calon Perdana Menteri baharu akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan memanggil kesemua 218 Ahli Parlimen untuk mendapatkan pandangan tentang sokongan mereka, keadaan ini sama seperti semasa lantikan Muhyiddin dahulu. Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen dan dua masih kosong iaitu Batu Sapi (Sabah) dan Grik (Perak) ekoran kematian penyandangnya.

Antara calon yang disebut-sebut seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, parti-parti kecil dari Sabah dan Sarawak akan memainkan peranan signifikan untuk menentukan jumlah sokongan yang diperoleh calon-calon Perdana Menteri baharu tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post