Bung Moktar Radin dan Hajiji Noor (kedua dan ketiga dari kiri) serta beberapa pemimpin GRS selepas pilihan raya negeri Sabah tahun lalu. |
KOTA KINABALU: Seorang penganalisis percaya sikap berdiam diri Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berhubung keputusan kepimpinan parti menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana tidak mahu mengganggu status quo di negeri berkenaan.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, dengan tidak menyatakan secara terbuka, Bung mampu memenuhi hasrat Umno untuk menyingkirkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, sementara memastikan parti itu terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
FMT tidak dapat menghubungi Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri untuk mengulas situasi politik semasa susulan pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu berhubung keputusan parti itu menarik sokongan kepada PN.
Sebelum ini, Bung secara terbuka menyatakan sokongan terhadap GRS dan berkata, Umno Sabah tetap bersama GRS ketika hubungan parti itu dengan Bersatu semakin bergolak di Semenanjung.
Oh memberitahu sikap berdiam diri yang ditunjukkan oleh Bung setakat ini adalah kerana beliau ingin mengambil jalan selamat bagi mengekalkan status quo di Sabah.
GRS menguasai 48 daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membentuk kerajaan PN terdiri daripada (Bersatu, PAS, STAR dan SAPP), Barisan Nasional (Umno, PBRS, MCA dan MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Oh berkata, Umno ingin mengekalkan kerajaan gabungan itu tetapi mahu mengetuainya, bukan Bersatu.
Oh Ei Sun |
“Sebab itu saya rasa Bung cuba memperolehi kelebihan daripada kedua-dua pihak (dengan tidak menyatakan secara terbuka), iaitu dengan menarik sokongan kepada Muhyiddin tetapi mengekalkan gabungan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.
“Malah, di peringkat negeri, Bung sanggup menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada (Pengerusi Bersatu Sabah) Hajiji Noor.
“Dia tidak mengejar kedudukan itu dan sanggup mengekalkan status quo dalam GRS…Saya rasa Bung sudah jelas mengenai perkara ini sejak tahun lalu,” katanya.
Romzi Ationg |
Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah dan Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah turut bersetuju dengan Oh sambil menjelaskan bahawa Bung cuba mengelakkan negeri itu daripada berdepan ketidakstabilan politik.
“Keadaan politik di Sabah tidak begitu stabil sejak pembentukan kerajaan baharu, jadi Bung ingin mengelakkan daripada tercetusnya isu baharu,” kata Romzi.
Tony Paridi Bagang. |
“Sebagai contoh, Bung (sebelum ini) berkata, apa sahaja yang berlaku di peringkat persekutuan, Umno akan bersama GRS. Mari kita lihat apa yang berlaku selepas ini.”
Bagang berkata, GRS tidak perlu terkejut dengan keputusan Umno menarik sokongan kepada PN kerana sudah terdapat petanda jelas mengenai situasi yang akan berlaku.
“GRS tidak perlu panik seolah-olah ia satu perkara yang tidak dijangkakan. Mereka tidak harus hilang fokus dan terganggu kerana ini boleh menjadi peluang untuk membuktikan GRS masih utuh dan rakyat menjadi fokus paling utama,” katanya.
Post a Comment