Dine-in di Sabah masih tidak wajibkan kad vaksin

ABDUL HAKIM Gimo menyediakan sup di medan selera pusat membeli belah Centre Point Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.



KOTA KINABALU: Aktiviti makan di restoran atau dine-in di Sabah masih berjalan seperti biasa tanpa perlu menunjukkan kad sebagai bukti setiap pelanggan sudah menerima dua dos vaksin.

Pengusaha restoran di negeri ini rata-rata masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang baharu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah untuk membenarkan dine-in kepada pelanggan yang sudah divaksin sahaja.

Bercakap kepada Utusan, Pengurus Restoran Islamic CPS, Mohd Raja Jalaluddin berkata, mereka masih beroperasi mengikut SOP yang dikeluarkan sebelum ini kerana tiada SOP baharu daripada MKN Sabah mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, mereka hanya akan menyemak kad vaksin pelanggan sekiranya itu syarat yang ditetapkan di peringkat negeri.

Pada masa ini, mereka masih beroperasi mengikut SOP sedia ada iaitu memastikan pelanggan mengimbas MySejahtera, memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan membenarkan dua orang pelanggan di setiap meja.

Katanya, ketika ini mereka beroperasi dengan kapasiti separuh pelanggan, begitu juga dengan pekerja.

“Sekarang pekerja juga terpaksa dikurangkan bagi mengurangkan kos operasi. Waktu operasi juga semakin singkat iaitu dari 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

“Biarpun pusat membeli belah ini tutup pada 8 malam tapi selepas 6 petang tidak ramai pelanggan sudah berada di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Efira Cafe & Catering, Abdul Hakim Gimo berkata, setakat ini mereka masih beroperasi menggunakan SOP sedia ada tanpa memerlukan pelanggan menunjukkan kad vaksin.

“Kami belum menerima apa-apa arahan terbaharu yang memerlukan pelanggan dine-in menunjukkan kad vaksin. Jadi, kami beroperasi mengikut SOP sedia ada dengan menetapkan hanya dua pelanggan sahaja dibenarkan di setiap meja,” katanya.

Jelas beliau, selagi belum ada arahan terbaru, mereka akan terus beroperasi berdasarkan SOP yang dikeluarkan sebelum ini. Maka, pelanggan yang belum menerima vaksin lengkap juga dibenarkan untuk dine-in.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bermula semalam, negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan makan di restoran dengan syarat mereka mesti menerima vaksin lengkap. -UTUSAN ONLINE

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.