Pemandu teksi rempuh 3 kenderaan di KKIA meninggal dunia

Pemandu Teksi Airport Mengamuk, Rempuh 3 Kenderaan Di KKIA



KOTA KINABALU: Pemandu teksi yang merempuh tiga kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia.

Pemandu yang berumur 65 tahun itu dipercayai maut selepas bertarung dengan penyakit kegagalan buah pinggang dan masalah kesihatan lain Isnin lalu.

Presiden Persatuan Limosin dan Teksi KKIA Shamsuddin Mohd Shah berkata beliau dimaklumkan berkenaan kejadian itu daripada pemandu teksi lain.

“Mendiang mengalami masalah yang agak berat termasuk tekanan emosi serta masalah kesihatan dan saya turut dimaklumkan mendiang menjalani dialisis. Untuk tempoh terbabit kami berusaha sedaya mungkin untuk membantunya lebih-lebih lagi selepas tidak mempunyai rumah tetap selepas berpisah dengan keluarganya,” katanya.

Menurutnya pihaknya bersama beberapa anggota persatuan akan mengunjungi rumah mendiang bagi memberikan penghormatan terakhir sebelum urusan pengkebumian hari ini (Khamis).

Sementara itu bercakap mengenai insiden di KKIA pada 19 Julai lalu, Shamsuddin berkata pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mendiang.

“Kita tahu masalah yang dihadapinya, dan itu semua hanyalah salah faham. Cabaran pandemik COVID-19 sangat berat dan pemandu bertolak ansur sesama sendiri dan membiarkan perkara itu berlalu,” katanya.

Sementara itu Shamsuddin juga meminta pihak kerajaan agar melihat masalah yang dihadapi oleh persatuan pemandu teksi yang mengalami kehilangan pendapatan dan mata pencarian disebabkan COVID-19.

“Masalah kekurangan pendapatan sudah berlarutan sejak setahun lalu dan saya harapkan kami akan diberi perhatian serta bantuan bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.