Kerajaan Sabah perlu wujudkan lebih lagi pusat rawatan COVID-19 - Shafie

Tambahnya, dengan kedudukan Sabah yang terus mencatatkan kes empat angka setiap hari, strategi untuk memperkukuhkan sistem kesihatan juga wajar disegerakan.

Kerajaan Sabah perlu wujudkan lebih banyak pusat rawatan, perhebat strategi tangani penularan COVID-19 - Warisan



KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor digesa untuk meningkatkan strategi bagi menangani penularan COVID-19 di negeri itu.

Ini kerana menurut Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal, peningkatan mendadak angka kes positif di negeri itu mencerminkan ketidaksungguhan kerajaan negeri dalam mengekang penularan wabak tersebut.

Malah lebih membimbangkan apabila kadar jangkitan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak juga berlaku.

‘’Mana-mana kerajaan yang prihatin pasti akan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melindungi rakyatnya daripada dijangkiti wabak ini dan bukan terus meninggalkan rakyat dalam ketakutan.

‘’Sebagai pemerintah, usaha mendapatkan bekalan vaksin untuk rakyat Sabah juga tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh apatah lagi mendesak Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan penhantaran vaksin ke negeri ini,’’ katanya.

Tambahnya, dengan kedudukan Sabah yang terus mencatatkan kes empat angka setiap hari, strategi untuk memperkukuhkan sistem kesihatan juga wajar disegerakan.

Ini termasuk membina pusat rawatan bagi merawat pesakit COVID-19 di Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Teluk Sepanggar.

Hal ini kerana, lebih banyak ruang yang luas boleh digunakan di dua kem tersebut malah terdapat pegawai perubatan di sana yang boleh membantu merawat pesakit COVID-19.

Ini kerana kata Ahli Parlimen Semporna itu, bebanan yang ditanggung oleh hospital di negeri itu sudah mencapai tahap maksimum.

Tambahnya, ketika ini dewan bedah di Hospital Queen Elizabeth I juga digunakan sebagai wad merawat pesakit COVID-19 dan masih ramai senarai menunggu untuk mendapatkan rawatan di sana.

‘’Masih terdapat pesakit COVID-19 yang kritikal diberikan bekalan oksigen bukan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

‘’Saya dimaklumkan juga bahawa mereka yang berusia 60 tahun ke atas diberi akses terhad terhadap penggunaan mesin pernafasan kerana ia diberikan terlebih dahulu kepada pesakit lebih muda yang memiliki tahap kesembuhan lebih tinggi.

‘’Saya pasti kerajaan negeri masih berkemampuan membeli lebih banyak mesin pernafasan bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa,’’ tambahnya.

Justeru kerajaan negeri harus menyusun langkah segera dalam menangani penularan COVID-19 sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi di negeri itu bagi mengurangkan risiko dan peningkatan kes positif di negeri itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post