Majoriti daripada kes yang dilaporkan hari ini melibatkan golongan yang berusia antara 18 sehingga 59 tahun dengan 2,240 kes. - Gambar fail/BERNAMA |
‘Trend kes Covid-19 Sabah dijangka naik jika vaksinasi masih rendah’
Kota Kinabalu: Jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah diramal meningkat antara 3,500 hingga 3,700 sehari sepanjang dua hingga tiga minggu akan datang.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Richard Avoi berkata, angka itu berdasarkan andaian 30 peratus populasi Sabah terdedah kepada Covid-19.
"Jika ditingkatkan jumlah populasi yang terdedah kepada jangkitan sebanyak 30 peratus, jumlah kes harian dijangka meningkat menjadi sekitar 3,500 hingga 3,700 kes dalam dua hingga tiga minggu akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sabah hari ini merekodkan 3,487 kes baharu Covid-19 iaitu jumlah tertinggi direkodkan sejak lebih setahun pandemik merebak ke negeri ini.
Dr Richard berkata, kes di Sabah sebelum ini diramal meningkat kepada 2,000 hingga 2,500 kes sehari berpandukan aliran peningkatan kes pada Mei dan Jun lalu berikutan andaian lebih ramai orang terdedah kepada jangkitan disebabkan kurang kawalan pergerakan sosial dan liputan vaksinasi yang masih rendah.
Berdasarkan trend harian kes Covid-19 di Sabah, diramalkan jumlah kes akan tetap meningkat dalam 2-3 minggu akan datang. |
"Justeru, keutamaan sekarang adalah untuk mengurangkan jumlah populasi yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 melalui program vaksinasi," katanya.
Bagaimanapun, katanya usaha untuk meningkatkan jumlah populasi dengan vaksinasi lengkap masih memerlukan sedikit masa lagi.
Berikutan itu, katanya, ada kemungkinan Sabah akan mencatat peningkatan kes baharu yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat berdasarkan ramalan model epidemiologi dan aliran semasa jangkitan Covid-19 di negeri ini.
"Oleh itu, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi kemungkinan peningkatan ini dan orang ramai disarankan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan tinggal di rumah jika tidak ada keperluan penting untuk keluar," katanya.
Dr. Taufiq: PPV IPT UMS telah memberikan suntikan vaksinasi sebanyak 83,059 dos vaksin Covid-19 kepada orang awam sekitar Kota Kinabalu sejak dibuka pada 14 Jun lalu. |
"Bagi menjayakan PICK, Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) UMS setakat ini berjaya memberikan suntikan sebanyak 83,059 dos vaksin Covid-19 kepada orang ramai dari sekitar Kota Kinabalu sejak dibuka pada 14 Jun lalu.
"Kita tidak mahu membiarkan ada masyarakat yang belum divaksin kerana kita khuatir mereka akan membawa jangkitan dalam komuniti dan ini yang menjadi kerisauan kita," katanya.
Katanya, melalui vaksinasi, situasi Covid-19 di Sabah dijangka lebih terkawal seperti berlaku di Labuan yang kini sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok populasi dewasa. - HMetro
Post a Comment