Majlis keagamaan di rumah cetus Kluster Batu Linting di Kuala Penyu

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun



Kota Kinabalu: Penganjuran majlis keagamaan di rumah mencetuskan satu lagi kluster baharu berkaitan komuniti hari ini, Kluster Batu Linting.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang dikenal pasti pihaknya di daerah Kuala Penyu itu menular sehingga ke empat kampung.

"Kes indeks adalah seorang wanita berusia 34 tahun yang dikesan positif dalam saringan bergejala di Hospital Kuala Penyu.

"Saringan kontak menunjukkan wujud pertambahan kes positif susulan saringan kontak rapat serta kontak sosial dan ia berkait rapat dengan majlis keagamaan yang diadakan di rumah kes indeks pada 31 Julai lalu.

"Daripada 45 sampel yang diambil, terdapat 29 kes positif termasuk lapan kes baharu hari ini yang dikesan di Kampung Batu Linting, Kampung Mansud, Kampung Bundu dan Kampung Kupang," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Selain itu, Masidi berkata, jumlah kes harian Covid-19 kekal mencatatkan kes sebanyak empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 2,052 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 100,031 kes.

"Sebanyak 28 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lapan kes di Kota Kinabalu, enam di Tawau, empat di Tuaran, tiga di Sandakan, dua Kuala Penyu dan masing-masing satu kes di Putatan, Keningau, Sipitang, Penampang dan Beluran," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.