Mana 200,000 bekalan vaksin CanSino untuk Sabah?

DARELL LEIKING



KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa Perdana Menteri segera memastikan bekalan vaksin dos tunggal, CanSino dihantar ke Sabah seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Sebanyak 200,000 vaksin CanSino dijadualkan dihantar ke Sabah pada minggu lalu tetapi sehingga sekarang bekalan itu masih belum diterima.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Leiking berkata, sekiranya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ingin mengekalkan pemberian vaksin 50,000 dos setiap hari maka, vaksin dos tunggal ini perlu dihantar seperti dijadualkan.

Sebelum ini bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi jaminan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa Sabah akan diberi keutamaan apabila 3 juta dos vaksin CanSino tiba di Malaysia bulan ini.

Malah, pada 12 Ogos, Hajiji memaklumkan 200,000 vaksin CanSino akan tiba di Sabah pada minggu berikutnya dan seperti dimaklumkan 200,000 dos CanSino tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur daripada China pada 20 Ogos.

Namun, bekalan yang tiba daripada China itu belum diterima oleh Sabah, walaupun jaminan sudah diberi bahawa penghantaran bekalan ke Sabah akan diutamakan.

“Ketika ini kes di Sabah semakin tinggi dan kadar vaksinasi pula terlalu rendah jadi, tidak mustahil kes kematian Covid-19 di Sabah akan mengatasi kes di Selangor sekiranya trend peningkatan ini berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Penampang ini berkata, melihat kes di Sabah yang semakin naik, wakil rakyat Warisan sedia membantu agensi kerajaan berkaitan untuk sama-sama memerangi wabak Covid-19.

“Peperangan ini memerlukan kita memberi keutamaan kepada nyawa dan kebajikan rakyat. Oleh itu, wakil rakyat Warisan dan seluruh ahli parti di peringkat bahagian bersedia untuk membantu memerangi wabak ini.

“Pada masa ini, kita harus ketepikan perbezaan politik kerana isu yang sedang dihadapi sekarang membabitkan nyawa rakyat yang tidak bersalah. Inilah masa untuk wakil rakyat dan pemimpin politik bekerjasama untuk membantu rakyat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.