KOTA KINABALU: Negara khususnya Sabah, hari ini kehilangan seorang tokoh yang tidak pernah jemu berjuang demi meningkatkan tahap sosioekonomi dan pendidikan rakyat, serta syiar Islam di negeri ini, setelah pemergian Tun Sakaran Dandai, awal hari ini.
Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Gleaneagles di sini pada pukul 5.30 pagi tadi setelah dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu akibat jangkitan COVID-19, sejak dimasukkan ke hospital itu pada 18 Ogos lepas.
Budi ditabur Sakaran, 91, tidak akan dapat dilupakan rakyat Sabah terutama di tempat asalnya Semporna apabila Allahyarham mengasaskan pembukaan tanah-tanah Rancangan termasuk Pulau Semporna, Mentaritip Pegagau dan Lihak-Lihak sekali gus meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk kawasan itu.
Jasa Allahyarham dalam bidang pendidikan dan syiar Islam juga amat dihargai apabila dilantik menjadi Canselor Pertama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Sabah 2008, serta Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017.
Sakaran yang berasal dari Semporna, berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-8 pada 1994.
Tun Sakaran Dandai, 91 dikenali sebagai Pejuangan sosioekonomi, pendidikan rakyat Sabah |
Allahyarham juga merupakan penerima Ijazah Doktor Kehormat Falsafah (Pengurusan) UMS pada 2004.
Dalam kerjayanya, Sakaran memulakan tugas dalam perkhidmatan awam sebagai Kerani Anak Negeri (Native Clerk) di Pejabat Daerah Semporna pada 31 Ogos 1948, dan memain peranan penting membangunkan rakyat di peringkat akar umbi melalui perkhidmatannya antaranya di Lahad Datu dan Pejabat Daerah Tuaran.
Pada 1960, Sakaran merupakan Ketua Anak Negeri paling muda dilantik ketika itu dan beliau sering memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan di Semporna khasnya, kerana pada masa itu hanya 35 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur bersekolah, dihantar ke sekolah.
Belasungkawa | Tun Sakaran Dandai, 91 tahun, meninggal dunia |
Sakaran pernah terlibat dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan antaranya Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah dan mengasaskan Yayasan SABDI yang memfokuskan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan serta menyebar kesusasteraan Islam.
Dalam arena politik, Sakaran pernah menjadi Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada 1986, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO kedua-duanya pada 1993.
Allahyarham menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semporna pada 1976 dan Ahli Parlimen Silam pada 1978, dan kemudian ADUN Sulabayan pada 1985 sebelum mempertahan kerusi berkenaan selama lapan penggal.
Sakaran juga pernah menganggotai Kabinet Sabah bermula 1971 antaranya sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sabah; Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, dan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi.
Pada 17 Mac 1994, beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah kelapan, kemudian pada 1 Jan 1995 menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan.
Allahyarham menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah selama dua penggal sehingga 31 Dis 2002.
-- BERNAMA
Post a Comment