Sabah mengesan 1,379 kes positif Covid-19

1,379 kes baharu COVID-19 di Sabah hari ini



KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi merekodkan jumlah kes baharu COVID-19 tertinggi yang mana hari ini sebanyak 1,379 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, data lapangan menunjukkan terdapat kenaikan tinggi kes positif di dua kluster sedia ada iaitu di Kluster Gambaron 2 Telupid (68 kes) dan Kluster Pauh Kinabatangan (60).

"Kota Kinabalu juga mencatat kenaikan 110 kes berbanding semalam, yakni 241 naik kepada 351 kes yang mana hampir 66 peratus merupakan kontak rapat.

"83 orang merupakan hasil saringan mereka yang bergejala. Tuaran mencatat pertambahan daripada 143 kepada 152 kes, Tawau 135 kepada 160, Penampang 92 kepada 113, Putatan 23 kepada 64, Telupid tujuh kes kepada 72 dan Kinabatangan 17 kepada 61 kes," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penambahan tinggi yang berlaku di kawasan perbandaran pula disebabkan jangkitan mudah terjadi di tempat kerja dan semasa interaksi sosial.

"Sekali lagi saya menyeru kepada rakyat agar sentiasa mematuhi semua SOP khususnya penjarakan fizikal serta penggunaan pelitup muka, tidak keluar kecuali perlu dan mengurangkan kegiatan-kegiatan sosial.

"Saringan kontak rapat menyumbang kes baharu yang terbanyak hari ini iaitu 752 kes. Bergejala 265, kluster 172, saringan bersasar 99 dan lain-lain 91 kes," katanya.

Menurutnya, terdapat juga 17 kes melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) yakni sama ada di penjara atau pusat tahanan sementara Imigresen.

Katanya, 1,277 daripada 1,379 kes hari ini adalah daripada kategori 1 dan 2. Dua orang dalam kategori 3, tiga orang dalam kategori 4 serta dua orang dalam kategori 5.

"Pesakit kategori 4 dan 5 memerlukan rawatan rapi. 95 kes lagi masih dalam siasatan untuk menentukan pengkategorian," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.