3,376 Kes Baharu Covid-19 Di Sabah, 63% Kes daftar lewat |
Kota Kinabalu: Lebih 50 peratus jumlah kes positif Covid-19 dikesan menerusi saringan kontak rapat menjadi penyumbang jumlah kes melepasi angka 3,000 di Sabah, hari ini.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif Covid-19 Sabah meningkat mendadak pada hari ini iaitu sebanyak 3,376 kes.
"Terdapat peningkatan 902 kes berbanding 2,474 kes dicatatkan semalam.
"Sebanyak 2,094 kes atau 62 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat di samping 784 kes atau 23.2 peratus daripada saringan bergejala dan 164 kes atau 4.9 peratus daripada saringan kluster.
"Selain itu, 430 kes atau 12.7 peratus adalah kes daftar lewat melebihi lima hari, 414 kes atau 12.3 peratus hasil keputusan saringan didaftar lewat antara empat hingga lima hari dan 1,286 kes atau 38.1 peratus kes positif yang lewat didaftar antara dua hingga tiga hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Masidi berkata, Kota Kinabalu kekal sebagai daerah tertinggi kes positif Covid-19 di Sabah.
Menurutnya, Kota Kinabalu mencatatkan 741 kes diikuti Tuaran (438); Penampang (335); Papar (257): Sandakan (209); Tawau (179); Sipitang (146); Putatan (134); Lahad Datu (132); Keningau (126); Beaufort (122); dan Kinabatangan (107) kes.
Post a Comment