KOTA KINABALU : Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menyatakan kekecewaannya berhubung isu kestabilan politik banyak dibincangkan di Semenanjung.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, banyak perkara dibincangkan tanpa meminta pendapat rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Seolah-olah kita di Sabah dan Sarawak hanya menjadi penonton drama politik ini dan apabila semuanya telah selesai, kita diminta agar menerima apa sahaja yang ahli politik tanah Melayu rasa adalah yang terbaik untuk persekutuan Malaysia.
“Adalah penting bagi ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk duduk dan bersatu sekarang. Apa yang kita mahu adalah kerajaan Persekutuan komited untuk menyokong dan melaksanakan hak-hak wilayah dan kewangan kita yang telah lama wujud,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun, Jeffrey berkata, setakat ini hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang paling peka mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak.
“Sekiranya ada yang benar-benar dapat mengatakan bahawa ada Perdana Menteri lain yang akan mendengarkan kami seperti Muhyiddin, saya sedia mendengar. Tetapi pada masa ini, saya tidak percaya ada pemimpin lain sepertinya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tawaran Muhyiddin untuk bekerjasama dengan parti pembangkang adalah sikap diplomatik terpuji yang harus diterima demi kestabilan politik di negara ini.
Katanya, Muhyiddin bersedia melakukan apa yang perlu untuk memastikan negara berada di landasan yang betul ke arah imuniti kelompok.
“Kerajaan Persekutuan melakukan semua yang mereka mampu untuk menstabilkan ekonomi dan politik.
“Amat menyedihkan apabila beberapa ahli politik tetap berkeras ingin menggagalkan usaha ini seolah-olah mereka hanya memikirkan kedudukan mereka dan bukannya penderitaan rakyat,” katanya.
Tambahnya, Muhyiddin telah menjanjikan beberapa reformasi dan mereka yang setuju dengan pembaharuan ini harus mengambil tawaran itu sementara menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
“Apa yang penting sekarang adalah memerangi Covid-19. Jumlah kes harian masih terlalu tinggi untuk mengambil risiko mengadakan PRU,” katanya. – SINAR
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment