Tidak Perlu Pasang Kawat Duri Di Lokaliti PKPD - Jahid

Penduduk Perlu Ada Kesedaran Bendung Penularan COVID-19



TUARAN: Penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu pemasangan kawat duri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, mereka harus menjalani proses kuarantin dengan penuh rasa tanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

“Penduduk di kawasan PKPD tidak perlukan kawat duri bagi mengawal pergerakan tetapi menggunakan akal fikiran dan kesedaran dalam menjalani kuarantin dengan rasa tanggungjawab.

“Kuarantin ini penting dan masyarakat perlulah mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Oleh itu, kita memohon kerjasama daripada warga yang terlibat dalam PKPD ini supaya mengamalkan SOP seperti yang dinasihatkan oleh KKM dan mengamalkan kawalan diri sendiri kerana dapat dilihat betapa dasyatnya akibat diserang pandemik COVID-19.


Jahid memerhatikan seorang jururawat yang memberi vaksin kepada seorang penerima.
“Sentiasa utamakan keselamatan diri dalam menangani kesan negatif penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau operasi Program Outreach CITF di Dewan Kampung Bunga TenghilanTamparuli, disini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata, sehingga 3 Ogos seramai 82,425 orang didaftarkan melalui 220 Program Outreach CITF anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah khususnya kawasan luar bandar.

“Seramai 94,264 orang sudah mendapatkan suntikan dos pertama dan 22,542 orang lengkap menerima suntikan vaksin dos kedua dalam program Vaksinasi Covid-19 setakat semalam.

“Peranan JaPen Sabah tertumpu kepada membuat hebahan melalui IOW, promosi dan publisiti dalam mana-mana program outreach sama ada dijalankan oleh Jabatan penerangan atau agensi lain,” ujar beliau.

Program Outreach CITF di Dewan Kampung Bunga Tenghilan Tamparuli yang berlangsung selama dua hari bermula pada hari ini menyasarkan 1,900 penduduk yang akan melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Pegawai Kesihatan Kawasan, Dr Noraziah Bakri, Ketua Polis Daerah, DSP Hamizi Halim dan Pegawai Penerangan Daerah, Malina Jamarin./Penerangan-

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.