Warga Keningau tertipu iklan FB, rugi lebih RM8,215

Pada 10 Julai, mangsa yang berusia 22 tahun terlihat iklan berkenaan penjualan sebuah kereta MyVi dengan harga RM4,500 secara sambung bayar pinjaman bank selama setahun.




Seorang operator kilang kerugian RM8,215 selepas tertipu dengan iklan jualan kereta secara sambung bayar di Facebook.

Pada 10 Julai, lelaki berusia 22 tahun itu terlihat iklan berkenaan penjualan sebuah kereta MyVi dengan harga RM4,500 secara sambung bayar pinjaman bank selama setahun, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof.

“Mangsa berhasrat untuk membeli kereta berkenaan dan menghantarnya ke kampung halamannya di Keningau, Sabah,” katanya, lapor Kosmo.

Setelah menghubungi pemilik akaun Facebook yang menaikkan iklan berkenaan di WhatsApp dan bersetuju membeli kereta itu, mangsa mula membuat pembayaran sebanyak RM3,500 melalui transaksi di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Sejam kemudian mangsa membuat sekali lagi transaksi sebanyak RM2,000 apabila suspek memberitahu transaksi pertama tersekat dan wang terbabit hanya akan masuk ke akaun selepas tiga hari,” kata Mohd Wazir.

“Keesokannya, suspek meminta mangsa membayar RM1,000 kerana dikatakan isterinya tidak berpuas hati dan mangsa bersetuju membayar jumlah itu.”

Pada 30 Julai, mangsa dihubungi melalui WhatsApp oleh seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pemilik kedai motor di Kota Kinabalu, Sabah.

Individu berkenaan mendakwa dia diamanahkan menguruskan penghantaran kereta MyVi berkenaan ke kampung mangsa kerana penjual asal perlu dikuarantin akibat jangkitan Covid-19.

Mangsa mula berasa sangsi setelah diminta membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,008, selain pelbagai bayaran lain bagi khidmat penghantaran kereta berkenaan.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Beserah (di Kuantan) kerana berasa tertipu dengan urusan pembelian kereta berkenaan,” kata Mohd Wazir.

Post a Comment

Previous Post Next Post