Salleh Said Keruak mengingatkan dirinya dan rakan seperjuangan untuk muhasabah diri dan terus bebas memperjuangkan hala tuju, kepentingan serta masa depan Sabah.
KOTA KINABALU: Pemimpin di Sabah wajar muhasabah diri dan terus bebas memperjuangkan hala tuju, kepentingan dan masa depan negeri dalam konteks Persekutuan Malaysia, kata Salleh Said Keruak.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu memberi peringatan berkenaan sempena setahun pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Sempena meraikan setahun pemerintahan Kerajaan GRS, saya ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan seperjuangan bahawa kita wajar muhasabah diri dan terus bebas memperjuangkan hala tuju, kepentingan dan masa depan Sabah sendiri dalam konteks Persekutuan Malaysia,” katanya di Facebook.
Bekas Menteri Persekutuan itu juga mengimbau detik sejarah pemerintahan Sabah sebagai satu negeri yang bakal meraikan usia 140 tahun pada 1 Nov ini.
“Menurut sejarah, pada 1 November 1881 Syarikat Borneo Utara mendapat Piagam Diraja Inggeris untuk mentadbir negeri Sabah yang pada mulanya dikenali sebagai Borneo Utara. Pada 1981, kita sudah menyambut ulang tahun 100 tahun sejarah ini.
“Sebagai renungan, kita sudah lalui pelbagai bentuk pemerintahan dengan pahit manis tersendiri,” tambah beliau.
GRS diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor memenangi majoriti kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 yang berlangsung pada 27 Sept dan berjaya menjadi kerajaan sah di Sabah.
Komponen utama dalam gabungan itu adalah STAR, SAPP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Bersatu, dan Barisan Nasional. – FMT
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment