Pendakian di Gunung Kinabalu dibuka semula

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

KOTA KINABALU: Selepas ditutup lebih 3 bulan, aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu di Ranau dibuka semula hari ini selaras kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor pelancongan yang diumumkan baru-baru ini.


Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim, berkata aktiviti itu bagaimanapun terhad kepada pendaki yang sudah lengkap vaksin COVID-19 dan berasal dari daerah yang sama.

NOTIS PEMBUKAAN TAMAN-TAMAN SABAH
1. Hanya Untuk Pelawat Yang Tinggal Di Daerah Yang Sama.
2. Hanya Untuk Pelawat Yang Sudah Lengkap Divaksinasi.
3. Hanya Untuk Pelawat Yang Berumur Di Atas 12 Tahun dan Di Bawah 70 Tahun.

Katanya, pendaki juga mesti berumur lebih 12 tahun dan tidak melebihi 70 tahun selaras dengan semakan terbaharu SOP fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah.

Beliau berkata, selain pendakian di gunung tertinggi Asia Tenggara itu, Taman-Taman Sabah turut membuka semula semua pejabat dan stesen taman di seluruh negeri berkuat kuasa hari ini.


"Semua dibuka mulai 16 September, kecuali Taman Pulau Penyu di Sandakan yang akan dibuka mulai 20 September.

"Pulau Bohey Dulang di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna dan Stesen Kimanis, Taman Banjaran Crocker pula akan dibuka pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.


"Walau bagaimanapun, hanya pelawat atau pendaki yang lengkap divaksinasi, tinggal di daerah yang sama dan berumur di atas 12 tahun serta di bawah 70 tahun dibenarkan masuk ke destinasi berkenaan dengan had pelawat seramai 100 orang sehari bagi setiap destinasi," katanya.

Katanya, semua aktiviti dalam taman adalah tertakluk kepada SOP pengoperasian Taman-Taman Sabah PPN fasa kedua berdasarkan kemas kini pada 11 September lalu.

Aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu dan semua taman di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu.

SOURCE: Berita Harian

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

Previous Post Next Post