Mentaliti mesti diubah: Sampah Sarap punca perparitan tersumbat hingga berlaku banjir kilat - Bung
KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo bukan satu-satunya punca perparitan tersumbat hingga berlaku banjir kilat di beberapa daerah di Sabah kebelakangan ini.Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada keadaan itu termasuk sampah dan pembangunan pesat yang tidak seiring dengan sistem perparitan sedia ada.
Beliau berkata, kesedaran masyarakat penting untuk sama-sama menangani punca kejadian banjir, selain usaha dilaksanakan kerajaan untuk memastikan sistem perparitan dalam keadaan baik.
“Saya tidak menafikan pembinaan Pan Borneo menyumbang kepada parit tersumbat yang menyebabkan banjir kilat. Namun, kita juga perlu meningkatkan kesedaran masyarakat supaya tidak membuang sampah merata tempat.
“Kita lihat banyak sampah terutama botol plastik dalam longkang dan ia boleh menyebabkan parit tersumbat. Jadi, mentaliti masyarakat perlu diubah,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau mengulas soalan tambahan Datuk Junz Wong (WARISAN-Tanjung Aru) mengenai dakwaan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan sebagai punca banjir kilat yang menjejaskan banyak kawasan.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, pembangunan pesat di sekitar daerah terbabit juga menyumbang kepada masalah parit tidak mampu menampung jumlah air yang banyak hingga mudah melimpah apabila hujan lebat.
“Kita lihat sekarang banyak pembangunan di sekitar Kota Kinabalu tetapi utiliti termasuk perparitan tidak dirancang dengan baik. Sebab itu hujan dua tiga jam, banjir. Tempat yang tidak pernah kena banjir pun, sekarang turut terjejas,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa tindakan khas yang akan dipengerusikannya pada Jumaat ini akan membincangkan secara terperinci kejadian banjir kilat yang semakin kerap, khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
Sementara itu, menjawab soalan asal Tan Lee Fat (DAP-Likas) mengenai tindakan yang diambil kerajaan terhadap syarikat konsesi yang gagal menjalankan tanggungjawab hingga menyebabkan banjir kilat di Kota Kinabalu dan Penampang, Bung Moktar berkata, syarikat terbabit sentiasa dipantau.
“Kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan syarikat konsesi serta kontraktor penyelenggaraan jalan raya sentiasa memastikan longkang dan sistem perparitan di kawasan pentadbiran mereka diselenggara mengikut jadual rutin,” katanya. – BH Online
SOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment