KAKITANGAN Golden Screen Cinemas melakukan persiapan untuk beroperasi. FOTO Aswadi Alias |
Jom tengok wayang!
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan membenarkan panggung wayang untuk beroperasi mulai Sabtu ini (18 September).Menteri Kerajaan Negeri dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ini adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan premis-premis seperti ini beroperasi.
“Aktiviti panggung wayang ini dibenarkan beroperasi dengan syarat pekerja dan penonton telah lengkap divaksin dan dengan kapasiti 50% dewan tayangan pawagam,” kata Jurucakap Covid-19 Sabah itu dalam kenyataan media hari ini.
Kebenaran untuk beroperasi semula mulai esok memberi harapan besar kepada pemilik panggung wayang untuk memulihkan perniagaan, menggaji pekerja semula, menayang filem yang tergendala dan menjana pendapatan selepas mengalami kerugian sejak penularan Covid-19 hampir dua tahun lalu.
Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama GSC Cinemas, Sharmine Ishak berkata, mereka tidak sabar mengalu-alukan kehadiran penonton wayang mengikut ketetapan iaitu hanya mereka yang lengkap divaksin boleh berbuat demikian.
"Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan dan teruja diberikan lampu hijau untuk membuka semula panggung wayang kepada penonton yang lengkap divaksin.
"Pembukaan semula itu adalah permulaan yang cukup baik untuk pemulihan semua industri panggung wayang. Kami teruja untuk menerima semula kehadiran penonton," katanya.
Sharmine berkata, pihaknya turut menekankan bahawa mereka tidak akan ambil mudah mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan SOP ketat tetap menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.
"Selain lengkap divaksin, penonton harus memiliki status berisiko rendah, penjarakan tempat duduk, wajib berpelitup muka sepanjang masa, serta disinfeksi dan sanitasi dilakukan dengan kerap pada setiap peralatan di premis kami.
"Kami juga sarankan penonton untuk membeli tiket, makanan dan minuman secara dalam talian. Semua kakitangan kami wajib lengkap divaksin serta berpelitup muka. Mereka juga diwajibkan mengambil bacaan suhu secara kerap sewaktu bertugas. Begitu juga pengesanan standard berhubung kontak mereka sebelum dibenarkan beroperasi," katanya.
Pada 8 September, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran SOP Industri Kreatif antaranya panggung wayang dibenarkan beroperasi untuk individu yang sudah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan panggung wayang.
Dalam pada itu, Pengurus Awam Jualan dan Pemasaran TGV Cinemas, Mohit Bhargaya berkata, mereka berharap panggung wayang mampu meredakan tekanan penonton yang lama terperuk di rumah.
"Pencinta filem sudah lama menanti panggung wayang dibuka semula. Kami tidak sabar mengalukan kehadiran mereka dengan tawarkan persekitaran yang selamat.
"Kami tawarkan cara hilangkan tekanan yang mampu milik buat mereka selepas lebih setahun terkurung. Tayangan filem mampu membantu kurangkan tekanan dan tahap keresahan mereka," katanya.
Selain itu, Mohit juga melihat pembukaan semula itu pastinya mampu memberi faedah pekerjaan kepada ramai di luar sana.
"Untuk industri sendiri, kami bertanggungjawab mewujudkan sekitar 20,000 peluang pekerjaan. Kami harap dapat memulihkan semula perniagaan dan membantu kakitangan dan keluarga mereka," katanya.
SOURCE: Warta Oriental
Kongsikan artikel ini:
Post a Comment