PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam ini. |
RMK12: Lebih RM9 bilion peruntukan pembangunan untuk Sabah, Sarawak - PM
Kota Kinabalu: Kerajaan memperuntukkan RM4.66 bilion bagi Sabah dan RM4.47 bilion untuk Sarawak melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.Perdana Menteri berkata, peruntukan pembangunan itu bakal disalur di bawah Rolling Plan Pertama 2021, RMK12, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini dan merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain.
"Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.
"Berbekal prinsip 'Bekerja Bersama Rakyat', kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak agar kemakmuran dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama," katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021, di sini, malam ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) berjanji memberi perhatian terhadap isu berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan untuk terus memperhalusi perkara perlu diselesaikan melalui rundingan menerusi Majlis Khas MA63 yang dipengerusikannya dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak, serta 8 menteri persekutuan.
"Usaha ini membuktikan kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak.
"Seluruh rakyat Malaysia seharusnya bersyukur apabila setiap cabaran berjaya ditangani dan dihadapi sebagai sebuah negara dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang," katanya.
Beliau berkata, Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963 melalui Perjanjian Malaysia (MA63), masih utuh sebagai sebuah negara aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Payung Perpaduan Negara.
Menurutnya, nama seperti Datu Mat Salleh, Tun Mohd Fuad Stephens dan Tun Datu Mustapha Datu Harun adalah tokoh pejuang gemilang dalam sejarah Sabah, manakala Datu Patinggi Abang Ali, Temenggong Jugah dan Rentap adalah antara tokoh kemerdekaan Sarawak.
Justeru, katanya, semangat tokoh pejuang ini tidak seharusnya terhenti dalam perang melawan musuh yang tidak terlihat iaitu pandemik Covid-19.
"Semangat juang ini harus mengalir dalam darah setiap ahli Keluarga Malaysia bagi memerdekakan diri, keluarga serta tanah air daripada kemelut pandemik.
"Tumpuan kerajaan ketika ini memulihkan sektor ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik, selain turut memberi tumpuan dalam memastikan pembangunan mampan dan seimbang merentasi wilayah," katanya.
Mengambil semangat sambutan Hari Malaysia, Perdana Menteri menyeru semua pihak menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini dan bertoleransi dalam semua perkara, hormat menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara yang dicintai.
"Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara.
"Perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik adalah tunjang kekuatan sebuah negara bangsa yang berjaya," katanya.
SOURCE: Hmetro
Kongsikan artikel ini:
Post a Comment