Sabah bersedia untuk memperkenalkan konsep gelembung perjalanan selaras keputusan kerajaan melonggarkan SOP buat individu lengkap vaksin
KOTA KINABALU: Gelembung pelancongan akan dibenarkan semula bagi membantu mengaktifkan kembali aktiviti pelancongan di Sabah, dalam masa terdekat.Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arrifin, berkata ia selaras keputusan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang sudah melengkapkan vaksin COVID-19.
Beliau berkata, pelaksanaan semula konsep pelancongan itu juga sejajar dengan pembukaan pusat pelancongan di Sabah yang dibenarkan untuk individu lengkap vaksin dalam daerah sama.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arrifin
Katanya, konsep gelembung pelancongan akan membolehkan pelancong tempatan melancong di luar daerah masing-masing, namun ia perlu dilakukan melalui agensi pelancongan dan hotel yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.
"Agensi pelancongan dan pihak hotel bagaimanapun perlu mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) sebelum melaksanakan gelembung pelancongan.
"Pelancong mesti dibawa dari satu lokasi ke lokasi lain, mesti menempah awal, manakala pekerja operator pelancongan, hotel, resort dan inap desa mesti sudah lengkap vaksin," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketika ini penduduk di Sabah dibenarkan berkunjung ke pusat pelancongan dalam daerah masing-masing dengan syarat sudah lengkap vaksin dan berstatus risiko rendah dalam aplikasi MySejahtera.
PELANCONG menaiki bot ke pulau sekitar Taman Tunku Abdul Rahman di Jeti Jesselton Point. FOTO arkib NSTP
Antara destinasi popular yang dibuka sejak 16 September lalu ialah Taman Kinabalu di Kundasang, Taman Tunku Abdul Rahman di Kota Kinabalu, Taman Marin Tun Mustapha di Kudat, Taman Bukit Tawau di Tawau dan Taman Pulau Tiga di Kuala Penyu.
Pusat penginapan termasuk inap desa juga dibenarkan beroperasi dengan syarat pekerja dan pelanggan sudah lengkap vaksin COVID-19.
Jafry berkata, pelaksana industri pelancongan di negeri ini sudah boleh membuat persiapan untuk melaksanakan gelembung pelancongan berdasarkan SOP ditetapkan.
Katanya, pematuhan SOP yang ketat membolehkan pelancong yakin terhadap keselamatan persekitaran perjalanan dan aktiviti pelancongan yang ada di seluruh negeri.
Matahari terbenam di hadapan bulatan Todak Waterfront di Kota Kinabalu. - Foto: MELODY L. GOH / The Star
"Kita bergerak ke arah norma baharu pelancongan. Tidak lama lagi industri akan diaktifkan semula bermula dengan pelancong tempatan dalam negeri Sabah.
"Kita pernah melaksanakannya sebelum ini dan saya percaya dengan tarikan yang banyak di enam zon seluruh negeri, ia adalah permulaan yang baik sebelum kita membuka semula sempadan negeri," katanya.
Beliau berkata, agensi pelancongan di Sabah boleh berhubung dengan Bahagian Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai gelembung pelancongan.
SOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment