UMNO perlu kembalikan hak Sabah seperti termaktub dalam MA63, kata Anifah

Anifah Aman berkata, rakyat kini ingin melihat sama ada Umno memiliki integriti untuk memenuhi “janji yang bukan sembarang janji” itu.

PETALING JAYA: Umno perlu memastikan janji untuk mengembalikan semula hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selepas parti itu kembali berkuasa, dilaksanakan dengan segera, kata Presiden Parti Cinta Sabah, Anifah Aman.

Katanya, tiada sebab hal ini dilengah-lengahkan atau diberi pelbagai alasan memandangkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah membuat janji tersebut, malah mengatakan bahwa apa pun kekangan yang timbul akan diatasi demi memastikan ianya terlaksana.


“Presiden Umno telah berjanji kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan MA63 100%. Tiada lagi sebab untuk melengah-lengahkan atau memberi pelbagai alasan memandangkan parti itu sudah kembali berkuasa.

“Dari dulu sehingga kini saya amat menghormati Ahmad Zahid dan percaya beliau seorang pemimpin yang sentiasa mengotakan janji,” katanya dalam kenyataan sempena dengan Hari Malaysia.

Zahid, ketika berkempen pada pilihan raya kecil Kimanis tahun lepas, telah berjanji sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi Umno diberi mandat berkuasa semula, akan “melaksanakan MA63 100%.”

Parti Melayu tersebut kini telah kembali ke tampuk pimpinan tertinggi kerajaan setelah Ismail Sabri Yaakob, selaku naib presiden, dilantik sebagai perdana menteri.


“Bagi pihak semua rakyat Sabah, saya menuntut janji ini daripada perdana menteri dan presiden Umno untuk memenuhi janji dan melaksanakan MA63 100%,” tegasnya.

Anifah juga menuntut kerajaan pusat pimpinan Umno itu tidak lagi menubuhkan jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk mengkaji hal berkaitan MA63.

Sebaliknya, beliau berkata, rakyat kini ingin melihat sama ada Zahid dan Umno memiliki integriti untuk memenuhi “janji yang bukan sembarang janji” tersebut.

Katanya, pimpinan Ismail tidak perlu menubuhkan lagi jawatankuasa kerana perkara itu sudah pun sampai ke peringkat Kabinet ketika beliau berada dalam kerajaan sebagai menteri luar sebelum ini.

“Lagipun, sekarang kami di Sabah perasan asal tukar kerajaan sebuah jawatankuasa baru ditubuhkan untuk mengkaji MA63 dan sebagainya,” katanya.


Dalam pada itu, Anifah turut beliau meletak harapan yang tinggi agar Ismail memahami aspirasi rakyat Sabah dengan memastikan segala hak keistimewaan Sabah dalam MA63 akan dikembalikan.

Katanya, Sabah dan Sarawak telah lama menuntut hak mereka sebagai rakan dalam pembentukan Malaysia dan bukannya sekadar negeri seperti negeri-negeri lain di Semenanjung, seterusnya mengharapkan pengumuman positif buat rakyat Sabah sempena sambutan Hari Malaysia kali ini.

SOURCE: FMT

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

Previous Post Next Post