UPKO tidak tinggalkan Warisan, sertai PH untuk angkat isu Sabah

WILFRED MADIUS TANGAU

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menafikan dakwaan bahawa parti itu meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) diterajui Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO masih bersama Warisan yang berperanan sebagai pembangkang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Penyertaannya di dalam PH pula bertujuan supaya isu-isu melibatkan Sabah dapat diangkat ke peringkat nasional sekali gus menyelesaikan masalah ‘tidak pernah selesai’ melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ekonomi negeri itu.

“Penyertaan UPKO di dalam PH bermula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN)lalu dan kami berpandangan gabungan ini sebagai alternatif kepada rakyat yang menyaksikan satu gabungan dipimpin oleh pemimpin-pemimpin menerajui parti berbilang kaum.

“Jadi, UPKO yang pada mulanya parti berasaskan kaum telah dijenamakan kepada parti berbilang kaum. Setelah konsep ‘khemah besar’ yang diperkenalkan PH, ini amat menarik bagi kami.

“Apapun pendekatan yang diambil, isu Sabah yang dibawa selama ini hendaklah dibawa ke peringkat nasional dan jangan kita lihat ia sebagai satu ‘perlawanan’ antara Sabah dengan Semenanjung,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian menerusi webinar bertajuk Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO dalam Perjuangan PH yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi UPKO Malaysia.

Ahli Parlimen Tuaran itu menjawab soalan diajukan pengacara rancangan yang juga Setiausaha Agungnya, Nelson W. Angang berkenaan dakwaan UPKO meninggalkan Warisan setelah menyertai PH secara rasmi, pada 26 Ogos lalu.

Webinar itu turut disertai pemimpin-pemimpin parti komponen PH lain iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin UPKO serta ditonton lebih 1,000 pengguna Facebook.

UPKO sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) namun meninggalkan gabungan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan memilih bersama PH sekali gus memperkukuh kerjasama dalam persiapan menuju PRU-15.

Menjawab soalan berasingan, beliau menyokong sebarang bentuk undang-undang sama ada mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat (recall election) atau Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi menghalang wakil rakyat yang membelot.

Beliau merujuk usul dikemukakan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat sekaligus membolehkan mereka yang dipilih terus berkhidmat menggunakan parti sama sehingga Parlimen dibubarkan.

“Ini sesuatu yang julung kali berlaku. Sebagai ahli Parlimen, saya akan mengundi dan berharap Speaker Dewan (Datuk Azhar Azizan Harun) menerima usul ini memandangkan ia adalah rang undang-undang persendirian, bukannya dari kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, ditanya berkenaan fokus dan strategi parti terhadap pengurusan negeri jika ditakdirkan PH mendapat kembali mandatnya di peringkat Persekutuan pada PRU-15 nanti, katanya, darjah ketersampaian maklumat di Sabah mesti diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

“Kalau di kawasan bandar, kita boleh menyampaikan maklumat di pelbagai saluran media sosial tetapi bagaimana pula di kawasan luar bandar? Ini cabaran kita. Aspek ketersambungan di luar bandar mesti ditingkatkan dan juga kelangsungan pendidikan tanpa masalah rangkaian internet.

“Aspek pelaburan di negeri ini juga perlu ditingkatkan dan peluang pekerjaan di Sabah juga perlu diwujudkan sebab ramai anak-anak Sabah yang berhijrah untuk mencari pekerjaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Post a Comment

Previous Post Next Post