MKMA63 setuju pinda status Sabah, Sarawak sebagai rakan sekutu

Picture
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili semasa sesi soal jawab di Parlimen 23 September 2021.-Foto Bernama
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


Status rakan sekutu Sabah, Sarawak akan dikembalikan

KOTA KINABALU: Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju melaksanakan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat MKMA63 hampir tiga jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.


"Mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan pindaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu. Pindaan itu juga akan mentakrif semula maksud Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Picture
Usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung merupakan langkah sebagai menghormati Perjanjian Malaysia 1963. - Foto Astro AWANI

Cadangan pindaan itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga mengetuai Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu MKMA63.


Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, MKMA63 bersetuju agar cadangan pindaan rang undang-undang (RUU) itu dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.

"MKMA63 akan terus membincangkan perkara tertunggak dan memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak dipulihkan, terutamanya melalui jawatankuasa penyelesaian masalah di bawah MKMA63," ujar Ongkili.


Katanya, MKMA63 turut bersetuju memberi kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan lesen menangkap ikan laut dalam yang ketika ini dikendalikan jabatan Persekutuan.

Pada mesyuarat itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengemukakan kertas cadangan memohon persetujuan MKMA63 untuk memberi kuasa kepada Jabatan Perikanan di Sabah bagi mengeluarkan lesen kapal dan peralatan penangkapan ikan untuk tempat penangkapan ikan di Zon C.

"Pada awalnya cadangan itu diajukan kerajaan Sabah tetapi MKMA63 bersetuju agar ia dipersetujui dan diperluaskan ke Sarawak juga," katanya.


Sementara itu, Wan Junaidi berkata pindaan yang dibuat kali ini berbeza berbanding usul kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, terutama tambahan pindaan bagi mentakrifkan semula 'Persekutuan' dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Pindaan ini akan menentukan status semua negeri di Malaysia sejajar dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, MA63 dan status setelah Singapura keluar pada 1965," katanya.

SOURCE: BH

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.