KOTA KINABALU: Siasatan terperinci berhubung kemalangan membabitkan anggota polis di Jalan Lintas berhadapan sebuah pasar raya di sini pada 15 April lalu masih berjalan.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata anggota polis berpangkat Koperal yang parah dan kaki kanannya putus selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah jip itu kini masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
“Siasatan masih dijalankan bagi memastikan bahawa keadilan akan diberikan kepada semua pihak," katanya ketika ditemui media pada Pelancaran Op Selamat 20 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kampung Rampayan Manggatal di sini semalam.

Jauteh berkata pemandu jip terbabit dibebaskan dengan jaminan polis namun siasatan masih berjalan.

Terdahulu anggota berumur 35 tahun yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam perjalanan ke tempat kerja kira-kira 9.30 malam 16 April lalu.

Berdasarkan saksi kejadian, pemandu jip dikatakan membuat pusingan U di tempat yang salah sebelum kemalangan berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

SOURCE: Utusan Borneo oleh Vivi Olviana Najurus

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date