12 dicekup ketika berjudi sabung ayam
TAWAU: Seramai 12 individu termasuk tiga wanita dicekup selepas disyaki terlibat dengan aktiviti judi sabung ayam dalam satu serbuan di kawasan ladang kelapa sawit, di Kalumpang, di sini, Sabtu lalu.Serbuan tersebut dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan tersebut adalah hasil daripada risikan dan maklumat awam mengenai kegiatan tersebut.
“Hasil serbuan tersebut berjaya menahan empat lelaki tempatan dan lapan warga asing termasuk tiga wanita berumur 17 hingga 71 tahun.
“Polis turut merampas tujuh ekor ayam sabung, peralatan judi dan wang tunai sebanyak RM1,210,”katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Jasmin berkata, hasil siasatan lanjut mendapati lokasi berkenaan dipercayai sering dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian dan aktiviti sabung ayam.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment