Sabah rekod 1,010 kes baharu COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun



KOTA KINABALU: Sabah kekal merekodkan jumlah kes baharu COVID-19 yang tinggi iaitu sebanyak 1,010 hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu masih mencatatkan kes baharu yang tertinggi iaitu 183 kes, diikuti oleh Sandakan 102, Kinabatangan 92 dan Tawau 90 kes.

"Tuaran merekodkan 79 kes, Penampang 68, Keningau 53, Sipitang 53, Papar 45, Putatan 31, Tongod 27, Kunak 24, Kota Marudu 24, Kuala Penyu 20 dan Beaufort 19 kes.

"Tiada kes baharu di Tambunan dan Ranau. Bagaimanapun terdapat satu kluster baharu di Sangkabok, Kuala Penyu direkodkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyumbang utama kes-kes baharu datang daripada saringan kontak rapat iaitu sebanyak 527 kes.

Katanya, peratusan daripada kategori bergejala turut semakin bertambah hari ini iaitu 224 kes.

"Kategori bergejala adalah jangkitan sporadik, tidak diketahui punca jangkitan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, peratusan kes sporadik yang semakin bertambah adalah satu petanda bahawa virus sudah berada dalam komuniti dan mudah merebak.

"Amatlah disarankan agar kita mematuhi semua SOP dimana juga kita berada agar kita tidak terdedah kepada jangkitan, apatah lagi mereka yang belum memperolehi vaksin," katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 146 kes hari ini adalah datang daripada kluster-kluster sedia ada seperti Kluster Pauh, Kinabatangan 67 kes, Kluster Jalan Corak Tongod 21 kes dan Kluster Tinabau Kinabatangan 13 kes.

Post a Comment

أحدث أقدم