4 nyawa pernah terkorban di lombong emas haram
Lahad Datu: Seramai 14 pelaku termasuk wanita dipercayai terbabit dengan kegiatan melombong emas secara haram dengan penemuan 103 lubang dan terowong aktif baharu dikorek, dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di sini oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Ogos lalu.Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisiner Toipi Lamat berkata, individu terbabit dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan asing, selain berkemungkinan pendatang tanpa izin dan penilaian itu dibuat berdasarkan analisa lapangan di enam kawasan penempatan sementara pelombong itu.
Beliau berkata, terbaru ketika melakukan pemeriksaan ke kawasan itu pada 8 Oktober lalu, PGA berjaya menemukan senjata seperti bakakuk, sejenis senapang patah buatan sendiri dan peluru hidup di kawasan penempatan sementara yang turut dirobohkan.
"Sebanyak enam kawasan membabitkan penempatan sementara ditemukan, iaitu pondok diduduki pelombong berkenaan di kawasan Sungai Bole lokasi berlaku kegiatan haram itu. Tempat tidur mereka sekurang-kurangnya ada 14 orang dengan tidak kurang ada dua wanita turut bersama, ini penilaian kami.
"Tiada suspek khusus setakat ini. Setiap kumpulan (melombong) biasanya tiga orang, seorang mengorek dalam terowong jajaran emas mendatar, seorang lagi mengangkut tanah dikorek daripada jajaran emas itu keluar ke permukaan tanah, seorang lagi mendulang emas di sungai berhampiran," katanya kepada Bernama.
Pada 20 Ogos lalu, PGA melalui Op Khazanah bersama Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar, menemukan lokasi aktiviti haram itu selepas menempuh 72 kilometer perjalanan bermula dari Ladang Ongkor.
Toipi berkata, pasukan operasi juga menemukan lokasi melombong emas berkenaan di sepanjang kilometer satu hingga lapan di kawasan Sungai Bole, dan di kilometer lapan sebanyak 103 lubang serta terowong dipercayai baharu dikorek.
"Susulan daripada penemuan itu, saya sendiri mengetuai pasukan ada masuk semula ke kawasan itu untuk melakukan siasatan dan menggeledah lokasi, sekali gus membawa kepada penemuan tiga dump (kawasan simpanan) mengandungi barang makanan, peralatan, dapur, barangan peribadi serta peralatan melombong," katanya.
Beliau berkata, pihaknya pernah memanggil seorang lelaki yang mengakui selama enam tahun terbabit menjadi pengangkut serta penggali lombong emas di kawasan itu sebelum ini, dan mengikut maklumat bahawa individu terbabit ialah orang tempatan selain warga Filipina, berkemungkinan pendatang haram.
Sementara itu, Toipi berkata, Jabatan Perhutanan Sabah memiliki unit keselamatan tersendiri, bagi menangani sebarang kes yang berlaku dalam kawasan hutan simpan kelas satu kendalian jabatan itu.
"Pada kebiasaan kami masuk memerlukan kebenaran Jabatan Perhutanan Sabah namun akan memberi kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah dalam membanteras jenayah," katanya.
Katanya, perbuatan pelombong itu adalah salah, kerana selain mencuri khazanah negara perbuatan itu membahayakan nyawa kerana berdasarkan risikan terdapat empat kematian pernah berlaku di kawasan itu.
Lahad Datu: Sekurang-kurangnya empat nyawa pernah terkorban di lombong emas haram di Sungai Bole, Hutan Simpan Ulu Segama Malua dekat Lembah Danum yang dibongkar pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) baru-baru ini.
Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, ia berdasarkan maklumat daripada bekas pelombong bahawa pernah berlaku dua kejadian runtuhan di situ.
Menurutnya, ia menyebabkan pelombong yang bertugas menggali dan mengambil tanah terperangkap.
"2 pelombong dipercayai tertimbus dan mati dalam lubang lombong terbabit.
"Apa yang kami difahamkan, menjadi adat pelombong supaya tidak membongkar atau mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
"Sebagai tanda ada pelombong maut di sesuatu kawasan, mereka akan letakkan tanda 'X' menggunakan kayu di luar pintu masuk lubang lombong berkenaan," katanya ketika ditemubual Harian Metro.
Dalam pada itu, beliau berkata, kematian ketiga pula membabit pergaduhan.
"Terdapat satu kematian yang berlaku disebabkan perbalahan sesama mereka dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan pembahagian tugasan.
"Ia terjadi apabila ada pelombong yang marah dengan rakannya yang bekerja di bahagian yang mudah untuk mengambil emas secara diam-diam lalu timbul rasa tidak puas hati antara mereka sehingga bergaduh dalam lubang terowong.
"Seorang kemudiannya terbunuh dan jasadnya juga dikatakan dibiarkan di lombong berkenaan," katanya.
Antara lubang pelombongan emas yang ditemukan di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di Lembah Danum dekat sini. (Gambar kecil) Anggota PGA memeriksa lubang lombong yang ditemui. Foto Hazsyah Abdul Rahman
Menurutnya, kematian keempat berlaku apabila ada pelombong mati akibat penyakit.
"Ada pelombong terkena malaria dan sebelum sempat dibawa keluar dari hutan simpan berkenaan, dia dilaporkan sudah meninggal dunia," katanya.
Justeru itu, beliau berharap dengan penemuan lokasi lombong itu, ia dapat menghentikan kejadian tidak diingini daripada terus berlaku.
Lahad Datu: Aktiviti melombong emas secara haram sejak 90-an berjaya dibongkar pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan WWF serta agensi lain.
Kegiatan itu terbongkar susulan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di Lembah Danum dekat sini.
Timbalan Komander PGA Briged Sabah Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, kegiatan itu berjaya dikesan dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang lancarkan sejak Ogos lalu selepas ia dilancarkan oleh Komander PGA Briged Sabah.
"Dalam operasi ini, ia memfokuskan seluruh Sabah. Ia bukan setakat di dalam hutan sahaja juga di perairan.
"Antara penemuan yang dikira sangat penting dalma operasi ini adalah aktiviti melombong emas haram," katanya kepada Harian Metro.
Toipi berkata, lokasi kegiatan mencuri khazanah negara itu berjaya dikesan pada 21 Ogos lalu hasil risikan dan maklumat awam sebelum ini.
"Pasukan operasi berjaya menemui lokasi pelombongan itu selepas menempuhi perjalanan selama lapan hari.
"Ia disusuli operasi penggeledahan dilancarkan dan maklumat yang diterima mendapati aktiviti melombong emas di kawasan hulu sungai berkenaan sudah berlarutan sekitar 1990-an lagi," katanya.
Menurutnya, bukan mudah untuk petugas operasi sampai dan menemui lokasi berkenaan.
Pasukan PGA melakukan pemeriksaan aktiviti perlombongan emas di sepanjang Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu.
"Petugas operasi terpaksa menempuh perjalanan di hutan tebal, melalui jeram, mendaki dan menuruni bukit serta perlu meredah sungai berbatu untuk ke lokasi berkenaan," katanya.
Walaupun sukar, katanya, anggota bertugas akhirnya berjaya tiba di lokasi berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi itu pihaknya menemui ratusan lubang atau lombong emas di sepanjang lapan kilometer Sungai Bole.
"Kira-kira 103 lubang lombong ditemui untuk satu kilometer di sepanjang tebing sungai berkenaan.
"Pelombong berkenaan dipercayai menggunakan kaedah tradisional bagi melombong emas di kawasan tersebut," katanya.
Anggota Operasi Bersepadu Khazanah menemui barang-barang yang ditinggalkan oleh suspek yang terlibat dalam kegiatan perlombongan emas haram di Lahad Datu. (Gambar PDRM)
Menurutnya, dalam operasi itu juga pelbagai barangan disyaki untuk kegiatan melombong seperti dulang, alat penimbang digital, baldi dan penyodok tanah.
Antara terowong yang dikesan dipercayai wujud hasil daripada aktiviti melombong emas secara haram di kawasan Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu.
"Makanan seperti beras, gula, mi segera, minuman segera dan peralatan memasak turut ditemui di lokasi terbabit.
TANDA ‘X’ menggunakan kayu di lubang lombong menunjukkan ada kematian pelombong di situ. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
"Senjata api jenis bakakuk dan senapang guli turut ditemui di lokasi berkenaan," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menemui enam lokasi penempatan yang diwujudkan di kawasan berkenaan.
PONDOK: Pondok atas pokok dipercayai sebagai penempatan sementara pelombong haram.
"Tempat tersebut ada lebih kurang enam penempatan yang mempunyai 14 pondok dibina dengan kanvas termasuk rumah atas pokok," katanya.
Senjata api dan peralatan melombong yang ditemui disimpan dalam 'dump' di kawasan penempatan pelombong haram di Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu.
Dengan penemuan berkenaan, pihaknya berharap berjaya menghentikan kegiatan mencuri hasil negara terbabit.
SOURCE: Harian Metro , Sinar Harian
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق