Rakyat Teruja , diharap pertimbang tambah UTC di Sabah

Picture
RAKYAT SABAH TERUJA DENGAN KEWUJUDAN UTC
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



Rata-rata rakyat Sabah begitu teruja dengan kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah di Jalan Belia, Off Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

Mereka berpuas hati dengan kemudahan yang terdapat di UTC ini yang dijadual  dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

“Rakan saya yang balik dari luar negara begitu kagum dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di UTC Sabah.

“Mereka begitu gembira kerana Malaysia boleh menyediakan kemudahan seperti UTC,” kata Penyelaras UTC Sabah, Datuk Vincent Pung.


Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah berkata UTC yang menawarkan perkhidmatan sehenti di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan amat diminati rakyat kerana ia memudahkan urusan dan menjimatkan masa mereka.

Kini terdapat 41 agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang menyediakan perkhidmatan mereka seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Polis di UTC Sabah yang dibuka sejak 16 Dis 2013.

Agensi lain yang turut menyediakan perkhidmatan ialah Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Pos

Malaysia, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Turut tersedia mesin pengeluaran wang automatik pelbagai perbankan, restoran, kafetaria dan surau. Sesetengah pengunjung berpendapat perkhidmatan yang disediakan adalah sangat maju.

Misalnya mereka kagum dengan perkhidmatan membuat kad pengenalan baharu yang lebih pantas.

“Ada pelanggan yang berkata ‘punya capat’ (begitu cepat) apabila mereka memperoleh kad pengenalan hanya dalam tempoh antara satu hingga dua jam, tidak sehingga 30 hari seperti sebelum ini,” kata Penolong Pegawai Pendaftar JPN di UTC itu, Mohd Khajura Faiz.


Beliau berkata pihaknya memproses antara 300 hingga 400 permohonan sehari  namun pada musim cuti sekolah, permohonan meningkat antara 600 hingga 700 sehari.

Sejak beroperasi, pihaknya telah memproses kira-kira 79,000 permohonan kad pengenalan, katanya.

Sehingga 31 Okt lalu, sebanyak 771,375 pengunjung sudah berkunjung ke UTC  Sabah, dengan purata 2,000 pengunjung setiap hari.

Pada hari perasmian nanti, majlis akan diserikan dengan nyanyian juara AF 2014, Mohd Firman Bansir atau Firman dari Sabah.  — BERNAMA

Kerajaan Pusat diharap pertimbang tambah UTC di Sabah


KOTA KINABALU – Kerajaan Pusat diharap dapat mempertimbangkan pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di daerah-daerah lain di negeri ini khususnya di pedalaman kerana ia memudahkan dan menjimatkan masa untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

Hasrat itu disuarakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman ketika berucap dalam majlis pelancaran UTC Sabah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri. Datuk Seri Najib di Bangunan UTC Sabah.

“Kerajaan negeri bagi pihak rakyat Sabah berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kementerian Kewangan dan seua yang terlibat atas daya usaha mewujudkan UTC di negeri ini.

“Kalau boleh bukan sahaja (UTC) di Kota Kinabalu, tetapi juga di tempat lain seperti Sandakan, kawasan pedalaman dan lain-lain. Ini kerana dengan adanya UTC, semua kerja-kerja dapat dipermudahkan,” katanya.



Beliau menambah, kewujudan UTC banyak membantu memudahkan urusan harian dan keperluan rakyat mendapatkan perkhidmatan daripada agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apatah lagi, katanya, dalam konteks negeri ini yang luas dan mempunyai taburan penduduk di di seluruh Sabah, tentunya pembinaan UTC bukan sahaj memudahkan tetapi juga meminimakan masa rakyat mendapatkan perkhidmatan.

“Saya telah melawat dan menyaksikan sendiri perkhidmatan yang diberikan di UTC ini. Sememangnya warga UTC sedia memberi khidmat terbaik dan mereka bertugas dengan penuh dedikasi dan nampaknya komitmen mereka menggembirakan rakyat yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Musa berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong dan menjayakan apa juga usaha dan inisiatif serta program transformasi Perdana Menteri di bawah Dasar Transformasi Nasional.

Pelancaran UTC ke tujuh di Malaysia oleh Perdana Menteri - Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah. - Foto oleh Alex MairinBangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah. – Pelancaran UTC ke tujuh di Malaysia oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 15 November 2015

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah pada 15 November 2014, Sabtu ini. UTC Sabah yang terletak di Sembulan telah memulakan operasinya Disember tahun lepas sebagai pusat sehenti yang memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan persekutuan.


UTC adalah satu usaha Kerajaan bagi menyediakan pelbagai khidmat utama Kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar di dalam satu pusat sehenti. Komuniti bandar boleh membuat pelbagai urusan dengan jabatan kerajaan dan swasta dalam satu bangunan yang pastinya dapat menjimatkan masa tanpa perlu pergi ke pejabat-pejabat Kerajaan yang lain.



Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan melalui kerjasama strategik antara pelbagai agensi kerajaan termasuk penglibatan sektor swasta.


UTC Sabah merupakan UTC ketujuh di Malaysia yang menempatkan 41 agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta pelbagai pusat pembangunan dan aktiviti belia yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah.

Menerusi UTC, warga setempat boleh membuat pelbagai urusan pembayaran dan perkhidmatan yang disediakan, antaranya Perbadanan Pinjaman Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Malaysia, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) serta Telekom Malaysia Bhd (TM).


Yang menariknya, di UTC juga turut disediakan perkhidmatan Klinik 1Malaysia yang satu-satunya Klinik 1Malaysia yang menawarkan perkhidmatan dua dalam satu iaitu rawatan pesakit luar dan klinik pergigian.


Perkhidmatan di UTC dibuka setiap hari kecuali cuti am dari 8 pagi hingga 10 malam.

Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan lagi acara tersebut bermula 4 petang di perkarangan Bangunan UTC Sabah di Sembulan. 

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dirancang termasuklah persembahan oleh Juara AF 2014, Firman dan artis-artis tempatan yangh lain, cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik seperti sebuah motosikal, home theatre system , telefon mudah alih dan lain-lain.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.