EAMON ZAYED TEKAD MAHU MENANGI HATI PEMINAT SABAH FA


ZAYED MAHU MENANGI HATI PEMINAT

“PADA perlawanan (persahabatan) pertama menentang Sarawak bulan lalu, saya melihat penyokong yang hadir memanggil nama (El Hadji) Diouf, mereka tidak mengenali saya.

“Saya harap dalam perlawanan akan datang, saya akan menjaringkan gol dan mereka (penyokong) akan turut menjerit nama Eamon di samping Diouf,” demikian kata penyerang Sabah Rhinos, Eamon Zayed yang bertekad untuk membantu pasukan mencapai sesuatu musim depan, sekali gus mendapat tempat di hati peminat.

Penyerang kelahiran Ireland itu berkata, beliau semakin serasi bersama pasukan yang digelar Sabah Rhinos itu dan berharap akan mencapai prestasi terbaiknya sebelum saingan liga bermula Februari depan.

“Saya harap dalam tempoh empat hingga enam minggu ini, prestasi saya berada pada tahap seratus peratus dan dapat membantu pasukan mencapai sesuatu musim depan,” katanya.

Eamon Zayed wira di Likas.
Zayed, 31, sebelum ini melakukan penampilan pertama bersama Sabah Rhinos ketika perlawanan persahabatan menentang Sarawak di Stadium Likas, bulan lalu.

Beliau yang masuk sebagai pemain gantian di separuh masa kedua dilihat masih tercari-cari rentak sebenar permainannya di samping dikatakan masih kepenatan selepas penerbangan yang lama untuk tiba di Kota Kinabalu sebelum itu.

Bagaimanapun, Zayed mula menunjukkan ‘taringnya’ bersama Sabah Rhinos ketika menyertai kejohanan pendek di China, awal bulan ini.

Selain diberi kepercayaan menjadi ketua pasukan, Zayed turut meledak tiga gol selain mempamerkan aksi menarik di sepanjang kejohanan berkenaan.

Sementara itu, pemain yang pernah dipanggil ‘mr hattrick’ oleh peminatnya di Iran kerana kemampuannya mencipta hattrick dalam beberapa perlawanan, berkata Sabah mempunyai peluang baik untuk melakukan kejutan musim depan.

“Saya fikir Sabah sebuah pasukan yang bagus, prestasi kami semakin meningkat hari demi hari…kami akan jadi sebuah pasukan yang kuat tahun depan dengan barisan kesebelasan utama yang kuat…kami mampu beri saingan sengit kepada pasukan lain dalam liga,” katanya.

Ketika ditanya perkara yang amat disukainya sejak berada di Sabah, Zayed berkata beliau sangat kagum dengan kemesraan yang ditunjukkan penduduk di negeri ini.

“Sejak saya sampai di sini, semua orang sangat mesra khususnya rakan sepasukan, ia berbeza ketika berada di Iran.

“Sebelum ini, saya mengalami kesukaran di Iran sebagai pemain import, mereka tidak begitu mesra…saya memerlukan satu hingga dua bulan untuk betul-betul memahami mereka.

“Ia berbeza dengan Sabah, pemain tempatan sangat mesra dan baik, saya harap saya mampu membantu Sabah mencapai sesuatu musim depan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.