Kisah Malim Gunung Kinabalu di Singapura
Imej seorang malim gunung, Mohd Rizuan Kauhinin yang mendukung seorang pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS), selepas kejadian gempa bumi di kawasan Gunung Kinabalu melambangkan keberanian golongan itu.
Gambar tersebut yang menunjukkan Rizuan mendukung El Wafeeq El Jauzy, 12, yang tercedera tersebar di media sosial dan orang ramai menganggapnya sebagai wira.Rizuan berkata, terdapat beberapa lagi malim gunung yang turut membantu menyelamatkan pelajar itu serta pendaki yang lain selepas kejadian gempa bumi itu.
“Saya bukan seorang wira,” kata Rizuan.
Malim berusia 25 tahun itu menjaga Wafeeq walaupun mereka tiba di kaki gunung dan pelajar tersebut menerima rawatan lanjut selepas tercedera di bahagian belakang akibat ditimpa batu.
Rizuan telah dibawa ke Singapura pada malam Isnin bersama dua orang lagi malim, Simon Gohinmin dan Mazlee Liong yang turut membantu pelajar tersebut semasa gempa bumi itu.
Ketiga-tiga malim gunung itu dibawa berjumpa Wafeeq serta ibu bapanya dan menerima jersi bola sepak yang tertera nama pelajar itu.
Pertemuan itu diadakan di TKPS pada Selasa pagi, kira-kira dua minggu selepas gempa bumi sekuat 5.9 skala Richter melanda Sabah pada 5 Jun lalu.
Mereka turut melihat nota takziah yang ditulis ibu bapa, murid, serta orang ramai bagi mengingati mereka yang terkorban akibat gempa bumi tersebut.
Turut hadir pada perjumpaan tersebut adalah seorang lagi pelajar TKPS, Arnaav Chabria, 11, yang patah tangan akibat gempa bumi itu.
Perjumpaan tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada dokumentari Channel News Asia yang akan disiarkan pada Selasa depan.
Seramai tujuh murid, dua guru dari TKPS, serta pengiring dari Singapura yang ditugaskan untuk menjaga pelajar semasa pendakian Gunung Kinabalu terkorban akibat bencana itu.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment