Masaya Jitzono Julang Sabah bangkit benam Terengganu di Likas

Pemain import dari Jepun, Masaya Jitzono, muncul wira tuan rumah apabila meledak gol pada masa kecederaan, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya Sang Badak.
Sang Badak bangkit benam Penyu di Likas

Sabah bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam Terengganu 2-1 dalam aksi sengit di Stadium Likas, malam ini.

Beraksi di hadapan hampir 1,000 penyokong, tuan rumah lebih garang pada awal permainan, namun setiap asakan mereka berjaya dipatahkan pertahanan lawan.


Peluang terbaik Sabah hanya hadir pada minit ke-28 hasil tandukan Maxsius Musa selepas mendapat hantaran sepakan percuma daripada Jitzono, bagaimanapun, ia sekadar terkena palang.

Pada babak kedua, Terengganu lebih dulu memiliki peluang baik pada minit ke-47 hasil cubaan Lutfulla Turaev di dalam kotak penalti, namun sepakannya itu berjaya ditepis keluar penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.


Leopold Alfonso Otong hampir meletakkan tuan rumah di hadapan selepas menerima hantaran baik daripada Jitzono pada minit ke-60, bagaimanpun percubaannya terus ke dakapan penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang.

Pada minit ke-62, Terengganu akhirnya berjaya memecah kebuntuan hasil sepakan percuma pantas Lutfulla yang disempurnakan dengan baik oleh Partiban K Jansekaran bagi menjadikan kedudukan 1-0.


Sepuluh minit kemudian, Jansekaran hampir menambah gol buat pasukannya tetapi percubaannya berjaya ditepis Rozaimie.

Pada minit ke-82, Sabah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Hamran Peter yang melakukan penyudah baik selepas menerima hantaran Jenius Karib yang sebelum itu melakukan larian baik di sebelah kanan kubu Terengganu.


Jitzono kemudian melengkapkan kemenangan Sang Badak apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti terus menerjah jaring dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.