Kuasa Viral telah membantu Rezeki Pelajar Ranau

Mohd.Firdaus bersama adik-beradiknya menunjukkan surat tawaran. (Firdaus dua dari sebelah kanan)
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



Pelajar Ranau, mendapat rezeki viral


RANAU: Mohd.Firdaus Din Musddin, 19, berterima kasih kepada individu yang menjadikan kisahnya viral di laman sosial sehingga menerima sumbangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

Mohd Firdaus dari Kampung Himbaan, Bundu Tuhan adalah pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Marakau, Ranau akan menggunakan bantuan kewangan tersebut untuk pendaftaran pengajiannya dalam Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam di USIM.

Menurut Mohd Firdaus, dia nekad untuk mendaftar di USIM walaupun kekurangan kewangan kerana permohonannya kali ini telah Berjaya selepas 3 permohonan sebelum ini tidak Berjaya.

Dia berkata, apabila mendapat tahu diterima untuk melanjutkan pengajian di USIM, dia terus ke Pusat Zakat Sabah (PZS) dan menerima bantuan pembiayaan tiket kapal terbang.

“Saya bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada saya selepas tiga kali gagal mendapat tawaran melanjutkan pengajian. Walaupun begitu, saya anggap semua yang terjadi sebagai hikmah untuk saya.

“Saya tidak minta banyak, cukuplah Allah meredai perjalanan saya sepanjang menuntut di USIM dan Allah beri keberkatan dan rezeki kepada individu yang berkongsi kenyataan berkaitan saya sehingga menerima sumbangan mencukupi untuk ke UISM.

“Sumbangan diterima ini dapat menampung perbelanjaan saya termasuk membayar yuran pengajian pada awal semester sementara menantikan kemudahan pembiayaan lain,” katanya yang ditemui di KKIA.

Datuk Masidi Manjun kongsikan di laman Twitternya.


Ia turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun yang turut berkongsi status mengenai kisah pelajar itu laman Twitternya.

Mohd Firdaus berkata, untuk ke KKIA, dia dihantar bekas guru sekolahnya di Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Marakau Ranau. Bagaimanapun, dia sedikit sedih kerana ibu, Sayamah@Jaimah Kuntagil, 50, tidak dapat menghantarnya ke KKIA.

“Sehingga kini, saya tidak tahu siapa yang mula-mula memuat naik kisah dan butiran peribadi saya di Internet. Saya berdoa supaya individu yang membantu saya mendapat rezeki berlipat kali ganda,” katanya.

Bercerita lanjut, remaja ini berazam untuk mengubah nasib keluarga memandangkan berasal daripada keluarga susah. Bapanya sudah meninggal dunia sejak dia berusia dua tahun.

“Sejak itu, ibu yang mengambil alih tugas membesarkan kami tujuh beradik. Ibu pernah bercucuk tanam untuk menyara keluarga sebelum bekerja sebagai ustazah di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Falah, Kampung Himbaan, Ranau.

“Selepas sekolah, saya pernah berkhidmat sebagai guru ganti di SAR Nur Muhammad Lingkudau Ranau selama empat bulan.

“Pendapatan itu sedikit sebanyak dapat membantu keluarga,” katanya.
Difahamkan, apabila tiba di Kuala Lumpur, beberapa individu sudah menyatakan kesediaan untuk membantu urusan pendaftaran Mohd Firdaus di USIM hari ini.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.