Ada Aspal ada Undi
Penduduk beri kata dua, tiada undi selagi jalan tak bertar
P ada setiap musim pilihan raya, manifesto menjadi perkara biasa yang ditampilkan oleh calon-calon dan parti politik.
Namun perkara ini amat berbeza di Mukim Bunga Raya, sebuah perkampungan kecil di Bingkor, Keningau.
Penduduk kampung tersebut tidak menunggu manifesto yang ditawarkan, tetapi mempamerkan besar-besar tuntutan mereka melalui kain rentang dan sepanduk.
Sekiranya anda dalam perjalanan dari pekan Keningau ke Tambunan, pasti anda akan terlihat sepanduk putih yang besar di satu simpang jalan.
Bertulis “Ada aspal (jalan tar), ada undi”, sepanduk tersebut turut mengandungi slogan “Sabah ubah!” dan tanda pagar parti-parti yang bertanding di kawasan tersebut.
Di bawah sepanduk tersebut, terdapat satu sepanduk berbunyi: “Ada jambatan, ada undi”.
Orang Dusun merujuk jalan tar sebagai “aspal”.
Perjalanan wartawan Malaysiakini dari jalan masuk utama ke perkampungan tersebut tidak begitu mudah, walaupun hanya sekadar enam kilometer.
Walaupun jalan di permulaan dan akhirnya elok, tetapi di tengah-tengahnya hanya berbatu tanpa tar.
Hal ini menyebabkan kereta terpaksa dimandu dengan perlahan.
Di samping itu, jalan tersebut mempunyai dua jambatan yang amat “unik”.
Satunya jambatan yang dibanjiri air sungai, dan satu lagi jambatan kayu yang tanpa pagar di tepinya.
Menurut penduduk tempatan, mereka terpaksa menunggu giliran untuk melalui jambatan kerana kedua-dua jambatan itu sangat kecil.
Tambahan pula, jambatan yang pertama akan “disekat” dengan air sungai apabila hujan atau air sungai pasang.
Ini menyebabkan jambatan itu “tenggelam” dan menyukarkan penduduk keluar masuk.
Hal ini menyusahkan lebih dua ribu penduduk di Mukim Bunga Raya sejak sekian lama.
Mesej dari zaman PRU12
Louis Lubis, penduduk Kampung Tonobon Baru berkata, kain rentang “Ada aspal ada undi” itu sebenarnya sudah dipasang oleh penduduk sejak pilihan raya umum ke-14.
Katanya, jalan utama yang memasuki kampung tersebut tidak pernah diturap sejak PRU ke-12.
Disebabkan masalah jalan raya masih tidak selesai, dia berkata orang kampung kini sebulat suara memutuskan akan mengundi mana-mana parti yang menurap jalan itu sebelum hari mengundi.
“Yang terbaru kami berbincang, sesiapa yang betul-betul dapat mengaspal itu jalan raya dalam masa terdekat, dan kita tahu dia yang buat (jalan), kita akan sokong parti itu seumur hidup.
“Dan kita tidak mahu terima lagi parti luar.
“Kalau mereka (parti lain) datang pun, datanglah. Tapi kita tidak akan bagi sokongan,” ulasnya sewaktu ditemu bual oleh Malaysiakini.
Louis pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu dari tahun 2012 hingga ke 2018, sewaktu zaman BN.
Beliau berkata pemimpin akar umbi berlainan parti di Mukim Bunga Raya turut bersetuju dengan “manifesto” kampung itu dan bersama memperjuangkan matlamat itu biarpun berlainan fahaman politik.
Menurut Louis, jalan kampung itu hanya diturap satu kilometer dari jalan masuk dan satu kilometer dari jalan keluar.
Jalan itu juga, katanya, dipanjangkan sebanyak 500 meter selepas PRU ke-12.
“Mereka tambah panjang sikit saja di jalan depan itu.
“Yang bahagian tertangguh itu dalam anggaran kami sekitar 3km lebih, kini masih jalan batu sampai hujung di sini.
“Hairan kan?” tertanya Louis.
Sewaktu berkhidmat sebagai pengerusi JKKK, Louis berkata dia pernah mengadakan dialog dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan unit berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian.
Namun setiap kali jawapan, menurutunya, hanyalah “peruntukan belum ada”.
Tambahnya, Ketua Menteri Shafie Apdal dan pemimpin Warisan yang lain turut menabur janji untuk menurap jalan raya di kampung mereka sewaktu kempen untuk PRU ke-14.
“Dia cakap dalam majlis waktu itu. Katanya ‘kalau kita menang PRU ke-14 ini, saya janji akan aspalkan jalan ini’.
“Tetapi apa yang jadi dalam 2 tahun ini? Selepas itu (PRU) mereka tidak datang lagi,” keluh Louis.
Apabila ditanya seandainya ada parti politik yang berjanji untuk membaiki jalan itu selepas hari mengundi, Louis berkata mereka perlu mempertimbangkannya terlebih dahulu.
‘Janji tarang bulan’
“Cuma kita takut mereka ini janji sahaja. Orang Dusun bilang, ini janji ‘tarang’ bulan, iaitu janji palsu,” katanya.
Menurut Louis, pusat daerah mengundi (PDM) Bunga Raya mempunyai sekitar 800 pengundi Bingkor. Bagaimanapun terdapat penduduk kampung yang didaftar sebagai pengundi Tambunan dan Sook.
Pada PRU14, PDM Bunga Raya dimenangi oleh calon DAP Peter Saili dengan jumlah 258 undi.
Bagaimanapun, kerusi itu akhirnya dipegang oleh pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Robert Tawik dalam persaingan enam penjuru.
Kalau anda terlepas...
Penduduk beri kata dua, tiada undi selagi jalan tak bertar
Dalam pilihan raya kali ini Peter Saili dan Robert Tawik kali ini bertembung lagi di Bingkor.
Disebabkan kekecewaan terhadap BN dan Warisan, Louis kini berasa Perikatan Nasional (PN) berpeluang mendapat undi dari kampung tersebut.
Katanya, ini susulan kedudukannya sebagai kerajaan pusat yang mempunyai sumber cukup untuk menjalankan projek infrastruktur di Sabah.
Post a Comment