Pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin mahu melupakan kenangan pahit sepanjang Liga Malaysia (Liga M) musim ini akibat COVID-19 dan membuka buku baharu untuk saingan tahun depan.
D
ia mengakui situasi yang melanda seluruh negara ketika ini benar-benar memberi kesan kepada semua pasukan terutamanya Sabah yang terpaksa mengorbankan hasrat beraksi di Piala Malaysia.
Justeru, pemain berusia 26 tahun itu mengharapkan musim depan dapat memberi sesuatu yang lebih indah bukan sahaja kepada Sabah, malah juga pasukan lain.
"Apa yang kami korbankan adalah demi keselamatan semua orang, walaupun hakikatnya memang masih terasa sedikit sedih apabila terpaksa menarik diri dari Piala Malaysia.
"Sekarang, musim 2020 pun sudah berakhir. Jadi kita tidak boleh lagi mengenang apa yang sudah jadi tahun ini. Saya memang mengharapkan yang lebih baik untuk Sabah pada musim depan.
"Sebagai pemain, mahu atau tidak kita kena selalu ambil positif dalam menangani apa saja situasi termasuk pandemik COVID-19. Jurulatih paling banyak membantu dalam tempoh kami tidak boleh turun ke padang kerana PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat)," katanya.
Azzizan menjadi antara watak penting dalam membantu Sabah menjuarai Liga Perdana tahun lalu dan layak beraksi dalam Liga Super musim ini selepas kali terakhir beraksi dalam saingan elit itu pada tahun 2012.
Namun, siapa sangka perjalanan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto tidak semudah itu apabila perlawanan terakhir liga juga terpaksa dilupakan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada lawan, UiTM FC apabila tidak mendapat kebenaran keluar oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Post a Comment