KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa untuk segera membekalkan vaksin ke Sabah yang kini dilihat semakin berkurangan bekalan ekoran permintaan tinggi rakyat di negeri ini untuk menerima vaksin.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pendaftaran penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera selain secara manual turut menjadi faktor kepada kekurangan bekalan vaksin di negeri ini.
“Pendaftaran dan permintaan yang tinggi dikalangan rakyat menjadi faktor kurangnya bekalan vaksin ini dan saya difahamkan beberapa hospital dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah terpaksa menangguhkan temu janji penerima vaksin.
“Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan sudah pasti ada rakyat yang kecewa apabila tiba giliran namun terpaksa menangguhkan pemberian vaksin pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian,”katanya ketika dihubungi disini.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, ketika ini hanya 10,000 hingga 11,000 orang dalam sehari rakyat di Sabah menerima dos vaksin dan boleh ditingkatkan kepada 20,000 sehari.
“Namun, ekoran bekalan vaksin yang terhad selain kekangan yang lain menyebabkan sasaran ini sukar dicapai selain usaha mencapai imuniti kelompok dengan cepat agak sukar jika bekalan vaksin masih tidak mencukupi.
“Meskipun kerajaan telah mempergiat pelbagai kempen kesedaran termasuk Program Jangkauan Luar ke luar bandar serta pembukaan PPV yang baru, tetapi jika bekalan vaksin tidak mencukupi, usaha itu hanyalah sia-sia kerana bekalan masih kurang,”katanya.
Sehubungan dengan itu Bung meminta kerajaan Pusat khususnya kementerian yang berkaitan agar melihat isu ini sebagai perkara penting agar keadilan bagi penerima vaksin di negeri ini dapat dipenuhi selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, kerajaan pusat wajar mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah dengan membekalkan vaksin mencukupi untuk kegunaan rakyat di Sabah kerana negeri ini mencatat angka kes positif COVID-19 dalam jumlah terkawal dan seharusnya boleh beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Banyak negara telah berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 melalui pemberian vaksin kepada rakyatnya, justeru kita perlu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat di negara ini khususnya di Sabah.
“Dimana kita mensasarkan dalam bulan Oktober ini sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Sabah sudah meneria vaksin,” katanya.
Post a Comment