Tiada Larangan Makan Di Premis - Datuk Bandar Kota Kinabalu

Kickbola.netSejumlah besar restoran di Kota Kinabalu mula membenarkan pelanggannya makan di dalam restoran sejak semalam.



KOTA KINABALU: Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak akan melarang orang ramai untuk makan di restoran namun menegaskan ia tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, DBKK masih menunggu SOP terbaharu daripada pihak berkaitan namun pihaknya tetap menerima pakai pengumuman Ketua Menteri Hajiji Noor berhubung kelonggaran SOP di negeri itu termasuk membenarkan orang ramai makan di restoran.

“Kami masih menunggu SOP baru tetapi kenyataan ketua menteri dan timbalan ketua menteri (berhubung kelonggaran SOP di Sabah) akan diterima pakai selagi tiada arahan sebaliknya.

“Dalam masa sama, kami tidak akan mengambil tindakan untuk melarang ‘dining in’ tertakluk kepada pematuhan SOP,” katanya ketika dihubungi.

Tinjauan di sekitar Kota Kinabalu, hari ini, mendapati sejumlah besar restoran dan kedai kopi mula membenarkan pelanggan makan di dalam premis.


Bagaimanapun, masih ada segelintir pengusaha restoran yang masih beroperasi tanpa membenarkan pelanggan makan di premis.

Pada 28 Jun, Hajiji mengumumkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 Sabah, mulai 29 Jun.

Antaranya termasuk makan di restoran atau kedai makan, aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal selain aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot


Bagaimanapun sehingga kini, SOP berhubung kelonggaran itu masih belum dikeluarkan dan ia terus menjadi tanda tanya sama ada apa yang diumumkan Hajiji boleh dilaksanakan atau tidak.

Sehari selepas pengumuman Hajiji juga, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Sabah tidak patut melonggarkan SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.

Katanya, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu standard SOP sahaja namun sekiranya ada negeri yang ingin menambah baik dengan memperketatkan suatu perkara, ia boleh dibenarkan.


Terdahulu, dua lagi daerah iaitu Sandakan dan Kinabatangan turut mengumumkan membenarkan orang ramai makan di dalam restoran seperti mana yang diumumkan Hajiji. – FMT

Post a Comment

Previous Post Next Post