Semua daerah di Sabah catat pertambahan kes

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun




KOTA KINABALU: Sebanyak 500 kes atau 54.82 peratus daripada keseluruhan 913 kes harian dicatat di Sabah pada Rabu dikesan melalui saringan kontak rapat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata situasi itu amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran masih terdapat kebarangkalian tinggi berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan walaupun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Sabah adalah amat tinggi pada hari ini iaitu 913 kes dengan peningkatan sebanyak 172 kes berbanding 741 kes yang dicatatkan semalam (27 Julai), malah Kota Kinabalu sahaja mencatatkan 234 kes baharu termasuk 27 kes adalah daripada Penjara Kepayan.

“Semua daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat, sekali gus menunjukkan trend yang terus melonjak dan membimbangkan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri Sabah berkata tiga kluster baharu direkodkan pada Rabu yang semuanya dikesan di Keningau iaitu Kluster Bayangan dan Kluster Bariawa Laut kedua-duanya kluster komuniti serta Kluster Menawo Baitah membabitkan kluster tempat kerja.

“Kluster Bayangan melibatkan penularan di Mukim Bingkor dan Luagan disyaki berpunca daripada perkumpulan keluarga dari luar daerah dengan 21 kes kumulatif, Kluster Bariawa Laut juga berkaitan perkumpulan keluarga mencatat 13 kes kumulatif.

“Kluster Menawo Baitah pula disyaki berpunca daripada pergaulan sesama keluarga yang akhirnya tersebar kepada rakan-rakan melibatkan 16 kes kumulatif,” katanya.


Sementara itu di Keningau, penduduk kawasan pedalaman, luar bandar, pulau dan ladang di seluruh negeri akan diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin CanSino yang dijangka tiba di Sabah bulan depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini kerana vaksin CanSino hanya memerlukan satu dos suntikan.


“Ia memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses pemberian vaksin di kawasan-kawasan berkenaan.

“Sekiranya berjalan lancar, kita dijangka mencapai imuniti berkelompok sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kompleks Sukan Keningau, Selasa lepas.


Tambah beliau, sebanyak 1.8 juta dos vaksin jenis CanSino dipohon daripada Kerajaan Persekutuan di samping satu juta dos vaksin Pfizer yang dijangka tiba awal bulan depan.

Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan seramai 303,120 penduduk Sabah telah menerima bantuan tunai secara sekali bayar setakat 26 Julai iaitu anggaran 84 peratus daripada jumlah penerima yang layak.


“Selain itu, sebanyak 356,639 bakul makanan juga sudah diagihkan kepada masyarakat terjejas dan layak terutamanya yang menjalani kuarantin di rumah, penerima bantuan e-kasih serta golongan B40.

“Dengan bantuan yang disampaikan, kita berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19,” tambahnya.


Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.