Tiada kes varian Delta di Kunak

Pegawai Jabatan Kesihatan Kunak nafi dakwaan yang tular melalui WhatsApp.



KUNAK: Tiada kes Covid-19 membabitkan varian Delta di daerah ini, walaupun terdapat peningkatan kes positif, kata Pegawai Jabatan Kesihatan Kunak, Dr Izaidi Salman Yazid, sekali gus menafikan dakwaan yang tular melalui WhatsApp.

Izaidi berkata, trend jangkitan pandemik Covid-19 masih sama seperti pola jangkitan sebelum ini melibatkan beberapa individu dan kontak rapat.

Beliau berkata individu dan kontak rapat ini didapati positif selepas ujian saringan dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kg Mostyn Lama.

“Setakat ini, Kunak belum ada kes seteruk varian Delta seperti yang tular di WhatsApp,” katanya kepada Harian Ekspres ketika mengulas perkongsian warga maya dalam WhatsApp pada Jumaat, yang menyebut terdapat kes varian Delta melibatkan kontak rapat individu positif Covid-19 baru-baru ini.

“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan kawalan kendiri, memakai pelitup muka dengan betul ketika berada di tempat awam atau ketika keluar rumah, dan mematuhi SOP yang dikuatkuasakan,” katanya.





Izaidi berkata, walaupun kes varian Delta belum ditemukan, langkah pencegahan dari awal perlu dilakukan oleh setiap individu dan sentiasa berjaga-jaga semasa pandemik ketika ini.

“Varian Delta mudah merebak, dan tidak mustahil boleh sampai ke mana-mana tempat,” katanya, menambah pematuhan SOP sangat penting sebagai antara langkah pencegahan dari peringkat awal.

Dalam perkembangan lain, Izaidi berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Kunak kini dibuka untuk pekerja sektor kilang dan ladang di sini.

Ia berlangsung dari 29 hingga 31 Julai dan dilakukan secara “walk-in” atau jumpa terus.

Sementara itu, bagi individu yang telah tercicir atau menghadapi halangan sebelum ini boleh datang ke PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin hari ini (Sabtu) untuk suntikan dos pertama.


“Bermula Ogos ini, suntikan dos kedua pula akan diberikan kepada individu yang telah mendapat dos pertama semasa jadual vaksinasi melibatkan komuniti di kampung-kampung yang berjadual,” katanya.

“Untuk PICK seterusnya, suntikan dos pertama akan dilaksana pada 23 Ogos ini bagi fasa berikutnya,” katanya.


Dalam masa sama, Pengerusi PKOB yang juga Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Dewan Arena Belia ketika ini beroperasi seperti biasa.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.