Ketua ARMADA BERSATU Sabah Fairuz Renddan |
KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Sabah Fairuz Renddan menyelar kenyataan lantang Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain yang menuntut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk letak jawatan dan menyerunya untuk berhenti menjadi batu api.
"Alasan beliau apa? Untuk tanggungjawab moral kerana gagal menghayati prinsip Rukun Negara 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara' dan 'Keluhuran Perlembagaan'.
"Sebelum menunding jari kepada pemimpin lain khasnya Perdana Menteri, adakah beliau (Ir. Abdul Aziz) sendiri menghayati dan memahami adab dan moral?," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, Ir. Abdul Aziz dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beliau, turut menyeru Ahli-Ahli Parlimen UMNO, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pemegang jawatan GLC untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletakkan jawatan serta merta, tidak berkompromi dan derhaka kepada Raja.
Hal itu berikutan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara tentang rasa dukacita KBDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong tentang kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai berkenaan kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walaupun belum diperkenankan oleh Baginda.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain |
"Jika kita di sini ingin menyokong ke arah kemaslahatan bersama, keharmonian negara dan rakyat, adalah wajar semua pihak bekerjasama dan bukan hanya membangkitkan isu menarik sokongan terhadap kerajaan PN, menggesa PM letak jawatan, menyeru ahli parlimen dari parti masing-masing tarik sokongan, letak jawatan dan sebagainya.
"Pada saat ini, keutamaan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara, sesuai dengan titah Baginda dan saya kira, tidak wajar beliau (Ir. Abdul Aziz) memainkan isu ini dan menjadi duri dalam daging, merosakkan penyatuan PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mana UMNO juga merupakan antara rakan sekutu dalam pentadbiran," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga menegaskan bahawa seorang pemimpin yang berwibawa adalah yang memberi buah fikiran dan tenaga untuk rakyat di kala semua dihimpit masalah akibat kemelut pandemik COVID-19.
"Kalau kawan kita itu rasa beliau ada ciri-ciri seorang pemimpin muda yang berjiwa rakyat, ayuh sama-sama, jom ikut kita turun padang, lawat rakyat di semua kawasan, kita beri sumbangan, ramai rakyat kita dihimpit masalah kekurangan wang, hilang pekerjaan dan tiada makanan," katanya.
Post a Comment