Anggota keselamatan cetus kluster baharu di Sabah

Anggota keselamatan cetus kluster baharu di Sabah - Hiasan.




KOTA KINABALU: Seorang anggota keselamatan yang terbabit dalam aktiviti sukan mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Cenderawasih di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kluster yang dikenal pasti di daerah Lahad Datu itu membabitkan penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja.

"Kes indeks adalah seorang anggota keselamatan lelaki berusia 39 tahun yang disahkan positif di Klinik Kesihatan Tungku pada 11 Ogos selepas bergejala sejak 7 Ogos lalu.

"Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap kontak rapat mengesan tujuh lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak lapan kes termasuk satu kes baharu.

"Sementara itu, 27 daripada 35 kontak yang disaring, masih menunggu keputusan ujian saringan.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan namun kontak rapat pernah melakukan aktiviti sukan bersama kes indeks," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II negeri berkata, semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) Lahad Datu.

"Kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sapagaya, Lahad Datu," katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata, jumlah kes harian COVID-19 berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah 1,728 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 106,830 kes. "Sebanyak 15 kes kematian dilaporkan semalam dengan Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing mencatatkan lima kes manakala Sandakan, Penampang, Keningau, Tuaran dan Sipitang masing-masing mencatatkan satu kes.

"Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar hospital 1,508 orang, menjadikan jumlah kumulatif sembuh adalah 89,704 orang.

"Seramai 5,131 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,181 orang di hospital, 3,903 orang di PKRC, 39 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala lapan orang di fasiliti swasta," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.