Sudah tiba masanya jawatan TPM diberi kepada pemimpin Sabah, Sarawak - Penganalisis

Sekiranya berjaya dilaksanakan, ia dilihat sebagai peluang baik untuk kedua-dua negeri ini membawa agenda pembangunan negeri.




Kepimpinan negara yang baharu diharap dapat melakukan pembaharuan dalam kepimpinan tertinggi dengan mempertimbangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma, sekiranya berjaya dilaksanakan, ia dilihat sebagai peluang baik untuk kedua-dua negeri ini membawa agenda pembangunan negeri.

‘’Satu daripada masalah yang besar dalam negara kita, ketidakseimbangan ini masih tidak diselesaikan lagi dan kedua kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah dan Sarawak.

‘’Kalau kita tengok Sarawak, daripada 10 daerah termiskin di Malaysia, tujuh datangnya daripada negeri itu.

‘’Negeri Sarawak merupakan negeri yang terbesar dan juga mempunyai kekayaan negara tetapi di mana silapnya mengapa Sarawak dan Sabah (ketinggalan dalam aspek pembangunan), mengapa tidak kita bereksperimen dan beri peluang.

‘’Mungkin selepas ini (kerajaan baharu) boleh beri peluang dengan menghormati corak politik di Sabah dan Sarawak yang bersifat lebih harmonis dan mengutamakan rundingan,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Sementara bagi Penganalisis Politik, Dr Sharifah Shahirah Syed Sheikh mengharapkan agar sebarang portfolio yang dipertimbangkan untuk pemimpin dari Sabah dan Sarawak bukan sekadar jawatan yang diberikan bagi meraih sokongan membentuk kerajaan semata-mata.

‘’Sudah tentu dari segi pembangunan Sabah dan Sarawak dan juga tawaran sebagai menteri serta timbalan menteri ini adalah suatu perkara yang perlu difikirkan.

‘’Tidak bolehlah apabila hendak meraih sokongan (membentuk kerajaan) barulah hendak menawar tetapi selepas itu dilupakan isu Sabah dan Sarawak.

‘’Ia merupakan satu perkara yang perlu menjadi penekanan sebagai pemimpin negara,’’ ujarnya.

Kedua-dua mereka berkata demikian sebagai respon selepas Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin sebelum ini mengakui bahawa beliau terpaksa meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti ahli dewan rakyat susulan penarikan sokongan 15 ahli parlimen UMNO.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.