Ibu Ebi Kornelis Meninggal Dunia Akibat Covid-19

Ibu meninggal dunia akibat Covid-19, Ebi Kornelis dan bapa juga positif… masih jalani kuarantin



KOTA KINABALU: Ibu penyanyi dan pelakon Ebi Kornelis iaitu Reni Bakar, 81, meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Ebi yang juga naib juara Akademi Fantasia musim kelima (AF 5) itu juga kini dirawat di Hospital Tuaran, Kota Kinabalu selepas disahkan positif virus itu sejak 8 Ogos lalu.

Menerusi laporan media tempatan, Ebi ketika dihubungi mengesahkan berita kematian ibunya, namun enggan mengulas lanjut ekoran keadaan kesihatan dirinya.

Berita kematian ibu Ebi itu dikongsikan kenalan dan rakan melalui Facebook yang merakam ucapan takziah selain mendoakan agar bintang AF 5 itu terus tabah menghadapi dugaan berkenaan.

Terdahulu, pada 8 Ogos lalu, Ebi menerusi hantaran di Facebook memuat naik mengenai keadaan dirinya dan bapanya, Yaimal Muhammad, 74, yang dijangkiti Covid-19.

Difahamkan, bapanya juga masih menjalani rawatan akibat jangkitan itu di HQE.

Ebi sebelum ini turut menyatakan kebimbangannya mengenai keadaan ibunya yang berseorangan di rumah selepas dia dan bapanya terpaksa dibawa ke pusat kuarantin kampus Intan.

Bapanya pula dari pusat kuarantin diarah ke HQE kerana kekurangan oksigen. Ebi kemudian dipindahkan dari pusat kuarantin ke Hospital Tuaran kerana mengalami sesak nafas berpanjangan.

“Ya Allah Ya Tuhan ku, Tuhan yang Maha Besar memiliki segala isi bumi dan langit. Saya dan keluarga sekarang sedang diuji dengan Covid-19. Mohon doakan kesembuhan saya dan keluarga, bapa dan mama. Ampunkanlah dosa-dosa dan kesalahanku sama kamu semua sama ada zahir atau batin. Aku terima ujian Allah. Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post