Ibu meninggal dunia akibat Covid-19, Ebi Kornelis dan bapa juga positif… masih jalani kuarantin

Ebi Kornalis bersama ibu dan bapanya dijangkiti Covid-19.



DUGAAN buat penyanyi Ebi Kornelis apabila ibunya iaitu Reni Bakar meninggal dunia di usia 81 tahun pada Selasa akibat Covid-19 di Unit Isolasi Hospital Queen Elizabeth 1, Sabah.

Lebih menyayatkan hati, Ebi tidak berpeluang bertemu arwah disebabkan dia juga disahkan positif dan kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) kampus Institut Tadbiran Awam Negara atau Intan di Kota Kinabalu.

Bukan sahaja Ebi, bapanya juga turut turut positif wabak itu namun kini berada dalam keadaan stabil dan masih dibawah pemerhatian doktor.

Perkara itu dimaklumkan anak saudara Ebi iaitu Afza Kharmizi Abu Bakar.

Tambah Afza, proses pengebumian jenazah arwah ibu Ebi masih tertangguh berikutan terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

Ebi dan bapanya sedang menjalani kuarantin.
"Kami dihubungi doktor memaklumkan nenek (ibu Ebi) meninggal dunia kira-kira pukul 9.46 malam Selasa.

“Ketika ini Ebi dan datuk (bapa Ebi) masih menjalani kuarantin. Keadaan datuk juga stabil namun masih dalam pemerhatian doktor.

“Proses pengebumian jenazah juga masih diusahakan kerana ada beberapa hal perlu diselesaikan. Termasuk menunggu kata putus Ebi sendiri," katanya.

Bagaimanapun usaha mStar untuk mendapatkan kenyataan Ebi gagal apabila difahamkan lokasi kuarantin tidak mempunyai liputan telekomunikasi yang baik.

Hasil semakan di Facebook milik naib juara program realiti, Akademi Fantasia (AF5) musim kelima itu juga dipenuhi dengan ucapan takziah.

Sebelum ini, Ebi bergegas ke hospital pada 7 Ogos lalu selepas mengalami sesak nafas dan disahkan positif Covid-19 kemudian diarahkan ke pusat kuarantin kampus Intan.

Manakala bapanya pula yang juga dijangkiti wabak tersebut dipindahkan dari pusat kuarantin ke Hospital Queen Elizabeth kerana kekurangan oksigen.

Post a Comment

Previous Post Next Post