KPDNHEP, JPV siasat bekalan telur ayam kurang

LAWATAN ke salah sebuah ladang pengeluar telur ayam di Sandakan.

Usaha sedang dilakukan oleh KPDNHEP untuk memastikan bekalan telur cukup untuk dibekalkan ke Sandakan.



SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah telah menjalankan tindakan secara bersepadu bagi mengenal pasti punca berlakunya kekurangan bekalan telur ayam dan sedang berusaha memastikan permintaan telur ayam di daerah ini dapat dipenuhi.

Tindakan itu juga diambil susulan aduan yang diterima sejak awal bulan ini berkenaan kekurangan bekalan telur ayam terutamanya di daerah ini.

Seksyen Penguatkuasa Pejabat KPDNHEP Sabah dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan, KPDNHEP Sabah juga sentiasa memantau rantaian bekalan telur ayam khasnya di negeri ini bagi memastikan ia mencukupi.

Bagi daerah ini, bekalan telur ayam diperolehi daripada dua ladang iaitu Prolific Quality Sdn Bhd (Prolific Quality) dan Rich Evergreen Sdn Bhd (Rich Evergreen).

Purata pengeluaran telur ayam di Prolific Quality adalah 120,000 biji sehari manakala Rich Evergreen mengeluarkan purata 30,000 biji sehari.


LAWATAN ke salah sebuah ladang pengeluar telur ayam di Sandakan.
Ini bermakna purata pengeluaran kedua-dua ladang itu adalah 150,000 biji sehari.

Pengedaran bekalan telur ayam di daerah ini oleh kedua-dua ladang itu juga boleh mencecah purata sebanyak 5,500 hingga 6,000 kotak sehari di pasaran. Bekalan telur itu diedarkan di sekitar Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Telupid.

Selain itu, satu usaha juga telah dilaksanakan pada baru-baru ini iaitu dengan menambahkan punca bekalan telur ke daerah ini daripada satu lagi ladang di Tawau iaitu QL Farms Sdn.Bhd. (QL Farms) dengan jumlah penerimaan bekalan sebanyak 56,000 kotak sebulan atau purata sekitar 2,200 kotak sehari.

Justeru, dengan penambahan bekalan daripada dua kepada tiga ladang ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan telur ayam di pasaran daerah Sandakan mencecah purata sebanyak 8,200 kotak atau 246,000 biji sehari, menurut kenyataan itu.

Bagi menjamin bekalan telur ayam dapat diperolehi oleh pengguna secara berterusan, beberapa langkah proaktif juga telah diambil termasuk melantik 19 penanda aras iaitu dua belas 12 di sekitar Sandakan, dua di Beluran, tiga di Kinabatangan dan dua di Telupid.



“Benchmark (penanda aras) ini terdiri daripada pelbagai kategori premis perniagaan itu juga akan menerima bekalan telur ayam sebanyak 100 kotak atau 3,000 biji telur setiap hari.

Selain itu, pemeriksaan berterusan juga akan dilakukan di ladang pengeluar telur ayam serta mendapatkan laporan harian berkenaan bekalan telur ayam.

Dalam pada itu, permintaan terhadap produk telur ayam dan lain-lain barang asas juga semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, Pejabat KPDNHEP Sabah mendapati bahawa bekalan barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak khasnya di dalam polibeg saiz kilogram, telur ayam, tepung dan beras yang merupakan bahan utama di dalam penyediaan bakul makanan untuk membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19 telah dibeli daripada peruncit-peruncit dalam kuantiti yang besar.

“Pembelian barang keperluan asas yang berlebihan di peringkat peruncit-peruncit telah menyebabkan pengguna di beberapa kawasan terputus bekalan dan pengguna terpaksa membeli daripada peruncit yang jauh sedikit atau menunggu sehingga bekalan baru sampai ke peruncit tersebut,” kata kenyataan itu.

Fenomena rak-rak kosong sesuatu barangan keperluan di sesebuah premis peruncit dibimbangi boleh membawa kepada reaksi negatif seperti pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Sehubungan itu, kerjasama daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan badan bantuan kemanusiaan amat diharapkan agar mendapatkan bekalan barang keperluan tersebut daripada pihak pemborong di setiap daerah dan merancang tempahan pembelian lebih awal bagi menjamin bekalan sentiasa ada dan tidak terganggu.

KPDNHEP juga sangat menghargai usaha murni pihak badan bantuan kemanusiaan dan NGO dalam mengorbankan masa, tenaga dan dana demi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Selain itu, KPDNHEP juga menyarankan agar tiada kegusaran mahupun pembelian panik dilakukan susulan permasalahan tersebut telah diberikan jaminan bekalan.

Peniaga juga diberi peringatan untuk tidak mengambil kesempatan berhubung permasalahan ini dengan menaikkan harga jualan telur.

Pejabat KPDNHEP Sabah menegaskan, tindakan perundangan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 jika sekiranya seseorang peniaga itu menaikkan harga barang dengan niat untuk mengambil keuntungan berlebihan (mencatut), notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 juga akan dikeluarkan kepada peniaga terbabit.

Berdasarkan Notis tersebut, peniaga diarahkan untuk mengemukakan dokumentasi yang membuktikan kenaikan harga barangan yang dijualnya adalah disebabkan oleh berlakunya kenaikan kos-kos yang tertentu.

Selanjutnya analisa kenaikan kos akan dijalankan oleh pihak KPDNHEP dan sekiranya didapati bahawa kenaikan harga barangan terbabit ada unsur pencatutan, peniaga akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 14, AKHAP 2011.

Mana-mana orang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah AKHAP 2011, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini selanjutnya boleh didenda tidak lebih RM500,000.

“Bagi peniaga yang didapati menyorok barang kawalan melibatkan gula dan minyak masak, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana orang atau individu yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi satu juta ringgit atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Dan bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta,” menurut kenyataan tersebut.

Kementerian itu mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku perniagaan atau aduan melalui sembilan saluran aduan yang disediakan.

Bilik-bilik Gerakan Pejabat KPDNHEP Sabah dan pejabat cawangan juga dibuka setiap hari termasuk hujung minggu dan boleh dihubungi menerusi hotline masing-masing. – DE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.