Majlis korban punca tercetus Kluster Timbua Ranau

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun



KOTA KINABALU: Aktiviti berkumpul oleh masyarakat untuk majlis ibadah korban di Masjid Timbua Ranau dipercayai punca tercetusnya Kluster Timbua Ranau yang direkodkan semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes indeks kluster terbabit adalah seorang lelaki yang juga penghidap kanser berumur 52 tahun.

Katanya, pesakit berkenaan dikesan positif COVID-19 selepas menerima keputusan ujian calitan RTK-Ag pada 23 Julai lepas dalam saringan pra-kemasukan ke wad.

"Turut dikesan positif, penjaga kepada kes indeks di dalam wad melalui RTK-Ag. Saringan kontak rapat dijalankan pada 27 hingga 29 Julai 2021 mendapati pertambahan kes positif dalam kalangan kontak rapat dan diperluaskan hingga 10 Ogos lepas.

"Daripada 239 kontak yang disaring, seramai 48 dikesan positif, manakala 95 kontak lagi didapati negatif dan 97 kontak masih menunggu keputusan ujian saringan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, selain Kampung Timbua Ranau, jumlah kes positif kluster terbabit turut melibatkan beberapa lokaliti lain antaranya, Kampung Lembah Permai, Kembiroi, Merungin 2 dan Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Dalam pada itu jelasnya, sebanyak 11 lokaliti di Sabah akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 hingga 25 Ogos 2021.

Menurutnya, di Kota Kinabalu tiga lokaliti berkenaan termasuk Kuarters Kilang J & L Jalan Kokol, Kampung Gudon Manggatal dan Kampung Lobou.

"Kampung Menunggui, Kota Belud; Kampung Tengah Kinarut, Papar; Kampung Petagas, Putatan; Kampung Pogunon, Penampang; Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau; Kampung Batu 1 Sipitang; Kampung Bukit Kukusan, Tawau; dan Kampung Batu-Batu, Tenom.

"Setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, enam lokaliti di Kota Kinabalu akan dilanjutkan bermula 12 hingga 25 Ogos 2021.

"Lokaliti berkenaan termasuk Bandar Sierra, Kampung Kalasanan, Kampung Pulau Penampang, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia, Taman Putera Jaya," jelasnya.

Beliau berkata, sebanyak 21 lokaliti ditamatkan PKPD pada 11 Ogos lepas.

Post a Comment

Previous Post Next Post